Sejarah Tawau

Sejarah Tawau

SEJARAH TAWAU – YUSOF AHMAD

Sejarah Tawau tidak diketahui dengan jelas permulaannya , Tawau telah berada dalam peta pada tahun 1857 tetapi tiada bukti yang kukuh penempatan penduduk sehinggalah tahun 1879. Bagaimana pun Tawau telah pun mempunyai penduduk dengan sebuah perkampungan kecil dihuni lebih kurang 200 orang penduduk yang kebanyakannya terdiri daripada Masyarakat Melayu berketurunan Tidung dan Suluk . Mengikut sejarah silamnya semasa kewujudan Tawau sebagai sebuah perkampungan nelayan seratus tahun dahulu, terdapat juga sebuah penempatan Melayu Islam tertua di Kalabakan yang pada ketika itu di bawah naungan Kesultanan Bulungan-Tarakan. Pemimpin mereka pada masa itu ialah Bujong Seripa yang kemudian digantikan oleh adiknya Imam Salleh (1923-1958). Tidak jauh dari Kalabakan, terdapat sebuah lagi penempatan lama di Serudong yang diasaskan oleh Datu Alun bersama pengikut-pengikutnya, seorang kerabat diraja Kesultanan Bulungan yang membawa diri dari tanahairnya. Namun kini yang tinggal hanyalah tapak perkuburan bersejarah.

Selain dari kerajaan Kesultanan Sulu yang menguasai tanah jajahan di kawasan utara Borneo , terdapat juga beberapa kawasan jajahan yang dikuasai oleh Kesultanan Bulungan ( yang berpusat di Tanjung Palas ) dan Kerajaan Tidung Tengara ( yang berpusat di Tarakan ). Mengikut sejarahnya sebelum kedatangan British lagi, telah wujud pemimpin-pemimpin Melayu yang berwibawa dan sangat dihormati. Antaranya Imam Sabah (Apas) , Bujong Seripa (Kalabakan) dan Datu Alun (Serudung). Haji Milo dari suku bugis seorang peniaga runcit , beliau juga nelayan , Mandor Libuh kontraktor kayu balak dari Brunei mendapat konsesi dari Utara ke Timor bandar, Rajiki suku kaum Suluk empunya tanah dibahagian timor bandar, beliau juga seorang pencari hasil mashul dari Hutan ,dan beliau juga mempunyai kuari kontrak dengan kerajaan, Ganin orang Melayu Kelantan seorang penjual dipasar menjual sayuran, buahan dan beliau juga seorang Nelayan.Timbol dari suku kaum Tidong menetap di Apas dan beliau adalah salah seorang empunya tanah dikawasan Bandar. Mandor Matasan seorang Melayu Indonesia berkerja sebagai pemotong kayu balak dan mempunyai kontrak kuari dengan kerajaan. Dullah seorang Melayu Brunei mempunyai kedai Billiad,Taha seorang Cina Muslim dari Brunei seorang pemotong kayu balak dan bertugas membaiki tetepon/telegrap. Manunda seorang bangsa Suluk seorang Petani dan Hartawan.Haji Mohamad Noor seorang keturunan Bugis /Tidong mendapat contract membuat Pelabuhan Baru dengan nilai $150 dan beliau banyak mempunyai tanah dikawasan bandar. Inche Alang seorang keturunan Melayu Sumatra seorang Hartawan banyak mempunyai Tanah di sekitar Sin On dan beliau memainkan peranan sebagai Pembina Masjid.Namun kewujudan pemimpin-pemimpin masyarakat Melayu ini ketika itu tidak diiktiraf secara rasmi oleh pihak British dan hanya menjadi sejarah dalam ingatan dan hati orang-orang Melayu Tawau. Tawau pada masa itu hanyalah sebuah kampung yang belum dimajukan, didiami seramai 200 penduduk kampung yang mendirikan rumah-rumah kampung di tepi-tepi sungai dan di kawasan kuala sungai Tawau. Sebahagian besar muka buminya masih lagi hutan tebal dan belum lagi terdapat sebarang bentuk pembangunan sama ada pejabat kakitangan Kerajaan Inggeris atau sebarang penerokaan hutan untuk pertanian. Pada ketika itu Tawau berada dibawah naungan kuasa Kesultanan Sulu.

Pada 22 Januari 1878 Suatu Perjanjian termeteri diantara Kesultanan Sulu dan Pihak Inggeris dimana Kesultanan Sulu menyerahkan Kawasan persekitaran Tawau kepada pihak Inggeris. Semenjak daripada itu Tawau telah menjadi sebahagian daripada Kawasan Jajahan orang-orang Inggeris melalui Syarikat ( Berpiagam ) Bornoe Utara. Menurut catatan The North Borneo Volume ( 1955 – 1965 ) menyatakan sistem pentadbiran bermula pada tahun 1898 dimana menyatakan , pihak Syarikat ( berpiagam ) Borneo Utara telah membuka sebuah penempatan di Tawau dan seterusnya mengadakan asas-asas pentadbiran kerajaan tempatan disitu.

PENSEMPADANAN KAWASAN TAWAU DENGAN INDONESIA

Bagi mengelakkan perselisihan faham dengan pihak Belanda ketika itu yang memerintah Indonesia , dimana Tawau adalah berkongsi sempadan dengan Indonesia , pihak pemerintah Inggeris telah mengambil langkah-langkah untuk menetapkan sempadan tersebut . Sempadan asal bagi kawasan yang diserahkan oleh Kesultanan Sulu dan Kesultanan Berunai ialah dibawah Sungai Sibuco berdekatan dengan Tarakan ( Indonesia ) yang mana kawasan tersebut termasuk dibawah Pemerintahan Belanda ketika itu yang mana telah sedia ada penduduk disitu. Berikutan itu satu Suruhanjaya Sempadan telah ditubuhkan pada tahun 1912 yang terdiri daripada pegawai – pegawai dari United Kingdom dan Belanda. Satu Laporan Bersama telah disediakan berserta dengan peta dan ditandatangani oleh Pesuruhjaya masing – masing di Tawau pada 17 Februari 1913 . Kemudian mengikut Protokol diantara United Kingdom dan Belanda yang telah ditandatangani di London pada 28 September 1915 dimana kedua – dua Kerajaan mengesahkan laporan bersama dan Peta tersebut.

INFRASTRUKTUR DAN SOSIO PENTADBIRAN

Dengan wujudnya pemerintahan British diTawau , pelbagai kemudahan telah disediakan seperti Hospital , Sekolah – sekolah , Balai Polis , rumah – rumah kedai , pelabuhan Tawau serta juga jalan raya dan jalan – jalan kampong yang dibina oleh PWD , sebuah Jabatan Kerajaan yang mana para pekerjanya adalah dari kalangan penduduk tempatan Tawau.

Hak dan keistimewahaan masyarakat Melayu tempatan telah diiktiraf oleh Kerajaan British dengan perlantikan Penghulu atau OKK sebagai mewakili penduduk tempatan di Tawau ini untuk menyatakan keperluan dan pemasalahan rakyat kepada pihak British. Penghulu Pertama yang dilantik dalam Tahun 1900-an ialah OKK Kee Abdullah , kemudian dalam Tahun 1950an diganti oleh Penghulu OKK Abu Bakar anak kepada bekas Penghulu OKK Kee Abdullah. Penghulu atau OKK telah dipertanggungjawabkan oleh Kerajaan British untuk memberi geran-geran tanah yang sah secara rasmi kepada masyarakat tempatan yang mendiami penempatan disekitar Daerah Tawau untuk menjamin hak keistimewaan penduduk tempatan sebagai masyarakat peribumi di Daerah Tawau.

Penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau ( PKMT ) dalam Tahun 1945 yang diasaskan oleh Datuk Abu Bakar Titingan bersama pemimpin Melayu yang lain iaitu Datuk Kassim bin Kamidin , Datuk Haji Ahmad Ayid dan Penghulu OKK Zainal bin Kerahu untuk memperjuangkan hak dan kepentingan orang-orang Melayu , telah menyatukan Masyarakat Melayu tempatan Tawau. Ahli – ahli Perstuan ini lah yang bersama – sama Tun Datu Nustapa bin Datu Harun melalui USNO menuntut Kemerdekaan bagi Negeri Sabah melalui Malaysia pada tahun 1963. Manakala penubuhan Persatuan Islam Tawau ( PIT ) yang dipengerusikan oleh Haji Abdul Karim bin Haji Abdul Rahman di bantu oleh Datuk Kassim bin Kamidin pada tahun 1956 telah mendorong penubuhan USIA yang menjamin keutuhan syiar Islam diTawau khasnya dan diSeluruh Sabah amnya.

Ramai yang tidak mengetahui sebenarnya penduduk Tawau adalah terdiri daripada Orang – orang Melayu , dimana kewujudan Orang Melayu diTawau sebagai Penduduk Peribumi telah diiktiraf sejak dahulu semasa Kerajaan British. Dalam Tahun 1920an Mahkamah Anak Negeri Telah bermula yang dianggotai oleh 3 orang pemimpin ketika itu ; Imam Mustapa , Habib Sheikh dan OKK Abdullah . OKK Abdullah telah berjasa kepada penduduk Tawau sejak Tahun 1900 , Habib Sheikh telah berjasa kepada penduduk Tawau sejak Tahun 1912 , Imam Mustapa sejak tahun 1925 , Habib Hussein sejak Tahun 1932 , Penghulu OKK Abu Bakar sejak tahun 1940 , Haji Abdul Karim Haji Drahman sejak tahun 1959 dan Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan sejak tahun 1962. Jawatan Penghulu ini telah pernah dijawat oleh anak-anak Peribumi Tawau bermula OKK Kee Abdullah , OKK Kee Abu Bakar bin Kee Abdullah , OKK Zainal bin Kerahu , OKK Salleh bin Ajak , OKK Hj.Salleh bin Sailabi dan OKK Kee Ayub bin OKK Kee Abu Bakar. Orang-orang Melayu di Tawau sebenarnya adalah gabungan Masyarakat Melayu dari pelbagai suku dan keturunan Melayu yang terangkum melalui hasil perkahwinan dan asimilasi berteraskan ikatan amalan Agama Islam dan pertuturan bahasa yang sama iaitu Bahasa Melayu Loght Tawau selama ratusan tahun lalu. Mereka telah lama hidup bersama dengan pertuturan bahasa Melayu yang senang difahami.

Penempatan Awal orang-orang Suluk dan Tidung terletak di Tawau Lama diMuara Sungai Tawau. Kebanyak dari mereka adalah Nelayan , Pekebun kecil menanam padi bukit dan menjual hasil-hasil daripada hutan seperti rotan , damar dan berbagai lagi. Disamping itu penempatan awal di Daerah Tawau adalah di Kampung Kalabakan . Ketua Kampung nya pada masa itu adalah seorang Menteri dari Kesultanan Bulungan ( Indonesia ). Terdapat juga penempatan awal orang-orang Bugis Wajo di Tawau diketuai oleh Penghulu Puado dengan 25 orang-orang nya se-awal tahun 1885.

PEMBUKAAN AWAL PEKAN TAWAU

Ketika awal pembukaan Pekan Tawau sebagai Pusat Pentadbiran British , Kee Abdullah adalah salah seorang Pegawai Kerajaan British di Tawau yang masih muda. Kee Abdullah turut bekerjasama dengan Penghulu Puado , nama sebenarnya La Toampong bin Andi Buku berketurunan Bugis Wajo, Sengkang Sulawesi yang telah berkahwin dengan Sahara berbangsa Suluk yang berasal dari Sulu .Pihak British menganggapnya sebagai pemimpin Masyarakat Melayu Tawau dan diberikan gelaran Penghulu Puado , untuk mentadbir Tawau terutama segala urusan yang melibatkan orang-orang Melayu. Dimasa yang sama Kerajaan British telah menghantar wakil mereka iaitu Alexander R. Dunlop sebagai Resident Tawau pada 1 March 1899. Turut datang bersama beliau ialah beberapa Pegawai berbangsa Inggeris dan ramai anggota Polis berbangsa Sikh. Tawau pada ketika itu juga telah didiami oleh masyarakat cina yang melibatkan diri dalam perniagaan kedai dan aktiviti perlombongan arang batu di Silimpopon dan mereka juga mempunyai pemimpin mereka sendiri.

PEMIMPIN PEMIMPIN MASYARAKAT MELAYU TAWAU

Penghulu Puado ketika itu dianggap sebagai Ketua Masyarakat orang-orang Melayu diTawau oleh Pihak British kerana kewibawaan dan beliau sangat dihormati oleh Masyarakat tempatan. Beliau menjadi pemimpin sehinggalah beliau meninggal dunia pada tahun 1902.Kekosongan jawatan pemimpin Masyarakat ini berterusan sehinggalah Sarip Ali diberi kepercayaan untuk menjadi Ketua Masyarakat yang seterusnya dan diberi gelaran “ Suluk Chief “ pada tahun 1905. Beliau menjadi pemimpin selama 7 tahun sebelum tempat beliau digantikan oleh Habib Sheikh pada tahun 1912. Gelaran jawatan Ketua Anak Negeri yang mendapat gelaran OKK atau Orang Kaya-Kaya ini hanya diperkenalkan oleh British diseluruh Jajahan Borneo Utara pada tahun 1920an. Ketua Anak Negeri yang Pertama di Tawau ialah Kee Abdullah dan dengan itu beliau diberikan Gelaran OKK Kee Abdullah .

Beliau secara rasminya menjadi pemimpin Masyarakat Melayu di Tawau untuk menggantikan Imam Mustapa – Native Chief pada tahun 1925. Perlantikan ini adalah sangat tepat dan beliau adalah calon yang paling layak ketika itu , kerana jasa-jasa beliau semasa muda iaitu semasa beliau menjadi Pegawai Kerajaan British dan menjadi orang kepercayaan Residen Inggeris , Alexander Rankin Dunlop. Beliau juga sudah berusia 60 tahun dan telah lama hidup sebagai orang Melayu yang sanggup susah dan senang bersama-sama orang-orang Melayu yang lain , beliau sangat dihormati.

Bekas Ketua Kampung Ranggu Panglima KK Abdullah Salim Puado ( Melayu Bugis Wajo ) cucu kepada Penghulu Puado , Ketua Anak Negeri yang pertama yang dilantik oleh pihak British. Penghulu Puado seorang bugis Wajo dari Sengkang adalah seorang Pedagang yang berniaga disekitar Pantai Timur Borneo dari Banjarmasin hingga ke Sandakan. Bugis Wajo adalah suku bugis yang pertama berhijrah ke Tawau. Dengan itu Tawau telah dibangunkan oleh 3 Pemimpin Utama iaitu Penghulu Puado , Penghulu Kee Abdullah dan Resident Tawau Alexander Rankin Dunlop yang membentuk satu Daerah yang membangun se awal tahun 1890-an.

Sedikit maklumat mengenai Penghulu Kee Abdullah yang diambil dari Wikipedia ;

Nama asal beliau ialah Kee Kim Swee . Dalam Tahun 1894 , beliau telah dilantik oleh British North Borneo (Chartered) Company sebagai Pegawai Kastam “custom examiner and revenue collector” di Tawau. Beliau berbangsa Sino-Dusun dimana Bapanya berbangsa Cina Hainam bernama Kee Vun Sai dan Ibunya berbangsa Dusun Tutung ( Native Brunei ) nama panggilannya Kipas. Kee Kim Swee dilahirkan diLabuan pada tahun 1863 dan bersekolah ditempat yang sama. Beliau menjadi orang Melayu apabila berkahwin dengan gadis Melayu bernama Jumatiah binte Ami Dalun Maiden, seorang gadis Suku bangsa campuran Suluk-Arab berasal dari Tapol / Parang Sulu, pada 26 November 1895 dirumah Penghulu Puado.

Sebelum itu beliau telah memeluk Agama Islam dengan nama Kee Abdullah. Kemudiannya tinggal bersama-sama penduduk Melayu di Tawau Beliau mempunyai 18 orang anak dengan isterinya Jumatiah, tiga orang lagi anak dengan isterinya yang lain di daerah Kudat. Selepas bersara dari Kerajaan beliau dilantik sebagai Penghulu atau Ketua Anak Negeri yang membawa gelaran Orang Kaya Kaya ( OKK ) . Sehingga kini beliau telah dikenang sebagai Ketua Orang Melayu yang berkalibar di Tawau . Beliau meninggal dinia dalam tahun 1953. Manakala ketika ini generasi beliau seperti Datuk Tawfik DSP Abu Bakar Titingan (DUN Apas) dan OKK Kee Ayub Kee Abu Bakar terus memainkan peranan memajukan Daerah Tawau mengikut peredaran masa kini.

TANJUNG

Panggilan asal Bandar Tawau lebih dikenali sebagai Tanjung manakala panggilan Tawau pula tidak diketahui punca sebenarnya. Ada yang mengatakan ianya berasal dari panggilan orang-orang Pedagang Suluk yang datang dimana mengingati Davao di Selatan Kepulauan Filipina dengan memanggil Tawao. Tetapi ada juga yang mengatakan ianya berasal dari bahasa Tidung yang memanggil Tanah Tidung yang mana Tanah dalam bahasa tidung ialah Tawau ada juga pihak menyatakan nama Tawau sendiri sebenarnya adalah berasal dari perkataan Tidung yang bermaksud ‘Tawai’ iaitu cara orang-orang dahulu memancing ikan di sepanjang sungai Tawau. Kemudiannya panggilan itu lebih dikenali dengan sebutan ‘Tawao’ mengikut panggilan masyarakat Suluk yang merupakan penduduk majoriti di sekitar perairan wilayah Kesultanan Melayu Islam Sulu. Walaubagaimana pun tiada apa apa bukti sahih untuk menyokong perkara tersebut.

SULUK TAWAU

Suku kaum Suluk ialah suku kaum yang terdapat di sebelah Pantai Timur Sabah dari Utara Kudat hingga ke Tenggara Tawau. Suku kaum Suluk ini adalah penduduk asal di Sabah. Masyarakat Suluk ini adalah tergolong dalam rumpun Melayu sama seperti suku kaum Melayu Brunei, Melayu Arab, Melayu Banjar dan Melayu Jawa. Sebaliknya, Masyarakat Melayu Suluk di Sabah ini tidak berbeza dengan bangsa Tausug di Kepulauan Sulu yang terpisah ratusan tahun dari perhubungan dan amalan cara hidup.

Di Sabah, Masyarakat Suluk Tempatan telah hidup beratus tahun di Sabah bersama masyarakat lain seperti Masyarakat Bajau, Dusun, Sungai dan Murut.

1. Pejuang Bangsa Menentang Penjajah British iaitu Datu Paduka Mat Salleh adalah berketurunan Suluk Paitan

2. Bapa Kemerdekaan Sabah iaitu Tun Datu Mustapha Datu Harun adalah berketurunan Suluk Kudat.

Ramai lagi keturunan Suluk Tempatan yang telah berjaya dalam bidang masing masing seperti; Pengarah Yayasan Sabah kini iaitu Tan Sri Datu Khalil bin Datu Jamilul juga adalah berketurunan Suluk tempatan Sabah. Begitu juga dengan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Haji Datu Nasrun bin Datu Haji Mansur yang mana beliau juga adalah berketurunan Suluk Sabah.

Selain dari Datu Paduka Mat Salleh, ada ramai lagi pejuang pejuang bangsa penentang penjajah British dari kalangan mereka yang berketurunan Suluk Sabah iaitu

· Datu Tating di Pulau Balambangan pada tahun 1773,
· Datu Baginda Putih di Sandakan pada tahun 1879
· Datu Kedunding pada tahun 1879 di Tungku.

SEJARAH SULUK TAWAU

Pada masa kini, Masyarakat Suluk di Tawau ( yang dahulunya tinggal bersama dengan Masyarakat Tidung di sebuah perkampungan nelayan dikenali sebagai Tawau Lama pada masa kini ), sudah tidak wujud lagi sebagai Masyarakat Suluk asli sebaliknya keturunan mereka sudah bercampur baur keturunannya melalui perkahwinan dengan masyarakat lain seperti Tidung, Cina Muslim, Arab, Iban Muslim, Banjar, Jawa dan sebagainya. Mereka lebih dikenali sebagai Masyarakat Melayu di Tawau ini kerana bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adat dan budaya Melayu sejak turun temurun. Misalnya keturunan Kee Abdullah ( Cina Muslim ), Penghulu Tawau pertama telah berkahwin gadis Melayu Suluk ( Jumatiah ) dan ramai keturunannya hari ini adalah berketurunan Melayu Tawau. Begitu juga Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan ( Suluk ) dari Pulau Tambisan kemudian berhijrah ke Tawau dan berkahwin dengan Kee Hayati ( peranakan Cina ) dan mewujudkan ramai keturunan Melayu di Tawau ini.

Ramai masyarakat di Tawau yang dikenali sebagai masyarakat Melayu ini adalah keturunan dari pelbagai suku-suku kaum yang sudah mengalami percampuran darah keturunan sejak dahulu lagi. Mereka tidak boleh dibezakan kerana agama dan budaya yang diamalkan adalah sama. Namun keadaan ini tidak sama dengan masyarakat pendatang dari Indonesia dan Filipina kerana mereka ada budaya yang tersendiri. Ini kerana kewujudan imigran-imigran Indonesia dan imigran-imigran Filipina ini adalah agak terkemudian iaitu setelah Tawau makmur sebagai lubuk sumber ekonomi. Mereka datang ke Tawau semata-mata untuk mencari rezeki dan sebelum kedatangan mereka ke Tawau, mereka sudah pun mempunyai identiti negara mereka sendiri. Berbanding dengan masyarakat Melayu Tawau ini, mereka telah wujud di Tawau sudah terlalu lama iaitu sebelum kedatangan pemerintahan penjajah Inggeris atau sebelum zaman pemerintahan tentera Jepun lagi.

SEJARAH SULUK DISABAH

Mengikut sejarahnya, Sabah dahulunya adalah sebahagian Kerajaan Kesultanan Melayu Sulu ( di sebelah timur ) yang begitu rapat hubungannya dengan Kerajaan Kesultanan Melayu Brunei ( di sebelah barat Sabah ). Tanah jajahan Kerajaan Melayu Sulu meluas hingga keseluruhan bahagian timur Sabah termasuk di kawasan sepanjang Sungai Sugut, Sungai Labuk dan Sungai Kinabatangan dan Sungai Segama. Masyarakat Melayu Suluk telah membuka penempatan di pesisiran pantai sebelah timur Sabah. Misalnya, Sandakan dan Lahad Datu adalah contoh penempatan yang diberi nama mengikut bahasa Suluk asli. Sandakan adalah bermaksud ‘Tanah Gadaian’ manakala Lahad Datu bermaksud ‘Persinggahan Datu’.

Di Tawau, Masyarakat Suluk tempatannya agak berbeza dengan Masyarakat Suluk Sabah yang lain. Ini kerana Masyarakat Suluk Tawau yang telah wujud lama di Tawau ini telah berasimilasi dengan masyarakat Melayu lain yang ada di Tawau. Mereka hidup bersama dan berkahwin dengan masyarakat suku kaum Melayu lain seperti Melayu Tidung, Melayu Banjar, Melayu Arab, Melayu Jawa , Melayu Bugis dan sebagainya. Rentetan dari perkahwinan campur antara pelbagai suku kaum Melayu ini, kini masyarakat Melayu Suluk di Tawau lebih dikenali sebagai Masyarakat Melayu Tawau.

Oleh kerana Sabah Timur di bawah pemerintahan Kerajaan Melayu Sulu, banyak golongan bangsawan di kalangan masyarakat Suluk Sabah yang dilantik sebagai wakil pemerintah Kerajaan Melayu Sulu. Misalnya Datu Paduka Mat Salleh yang diberi kuasa untuk menjaga perairan Sungai Sugut. Gelaran ‘Datu’ pula adalah gelaran yang diberikan kepada golongan bangsawan masyarakat Melayu Suluk di Sabah. Di Tawau pula, pemimpin Melayu dari keturunan Suluk yang pernah memimpin masyarakat suatu ketika dahulu ialah Sarip Ali dari tahun 1905 hingga 1912.

Selepas itu, ketika sebelum dan selepas Perang Dunia dan Pendudukan Jepun di antara tahun 1937 hingga 1953, Penghulu Abu Bakar yang juga berketurunan Suluk Tawau pernah memimpin Masyarakat Melayu di Tawau. Kemudian era pra kemerdekaan, Datuk Abu Bakar Titingan bin Damsani ( juga berketurunan Suluk Sabah ) pula memainkan peranan sebagai pemimpin masyakarat Melayu di Tawau. Beliau telah dilantik sebagai Pengerusi USNO pada Mei 1962 dan memikul tanggungjawab untuk menyatukan semua orang-orang Melayu pada masa itu di bawah satu payung iaitu USNO bagi menuntut kemerdekaan Sabah melalui Malaysia pada 16 September 1963.

SULUK TAWAU BUKAN TAUSUG ( FILIPINA )

Suluk Tawau adalah cuma nama asalnya sebuah keturunan namun hakikatnya kewujudan mereka adalah di dalam sebuah komuniti iaitu orang-orang Melayu sama seperti suku-suku kaum Melayu lain yang terdapat di Tawau seperti Melayu Arab, Melayu Banjar dan Melayu Tidung. Oleh yang demikian, orang-orang Melayu keturunan Suluk di Sabah menganggap diri mereka adalah Orang Melayu lebih-lebih sudah ratusan tahun, mereka cuma bertutur dalam satu bahasa iaitu Bahasa Melayu dan mengamalkan budaya dan adat Melayu bersama komuniti Melayu lain.

Walaupun suku Suluk ini juga ramai terdapat ramai di tempat lain seperti di Filipina dan Kalimantan namun cara hidup, pertuturan dan budaya di antara Suluk Tawau adalah sangat berbeza dengan Suluk di Filipina ( Tausug ). Ini kerana bahasa pertuturan Suluk Tawau adalah bahasa Melayu Sabah manakala pertuturan Suluk di Filipina adalah bahasa pertuturan Suluk [Tausug]. Ramai orang Tausuq di Filipina yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu dan bagi yang tahu bertutur dalam bahasa Melayu, loghat pertuturan mereka adalah sangat berbeza dengan loghat masyarakat Melayu Tempatan. Dari segi budaya hidup pula, Suluk Tawau adalah mengamalkan budaya hidup Melayu tempatan Sabah dan gaya hidup bangsa Malaysia manakala masyarakat Tausuq di Filipna telah mengamalkan budaya masyarakat Tausug yang agak berbeza dengan budaya Melayu di Malaysia
.
PERBEZAAN MELAYU TAWAU ( BERDARAH CAMPURAN SULUK ) DENGAN TAUSUG ( SULUK FILIPINA )

Melayu Tawau ialah masyarakat Melayu yang wujud di Tawau sebelum zaman penjajahan lagi dan sebelum zaman pendudukan tentera Jepun di Borneo Utara. Manakala Tausuq yang merupakan bangsa pendatang dari Filipina yang datang ke Tawau setelah kewujudan negara Filipino. Di Filipina, mereka dikenali sebagai bangsa Moro manakala di Sabah mereka diwartakan sebagai bangsa Filipino sama seperti bangsa Visaya dan Tagalog yang juga berasal dari Filipina dan datang ke Tawau ketika zaman pergolakan peperangan di selatan Filipina.

Walaupun masyarakat Melayu Tawau ada yang berdarah campuran Suluk tetapi mereka tidak tahu langsung bertutur dalam bahasa Suluk sebaliknya hanya tahu bertutur dalam bahasa Melayu Loghat Tawau dan mengamalkan adat tradisi Melayu serta patuh kepada ajaran dan amalan agama Islam yang suci, diwarisi dari nenek moyang mereka yang sememangnya tinggal di Tawau sejak beberapa generasi dahulu.

MASYARAKAT MELAYU SULUK TAWAU

Sebagai penduduk tempatan asli Tawau bersama suku kaum Melayu yang lain seperti Melayu Tidung, Melayu Arab, Melayu Banjar dan Melayu Jawa tempatan, masyarakat Melayu Suluk hidup bersama-sama dengan mengamalkan budaya dan cara hidup Melayu tempatan. Budaya masyarakat Melayu Tawau adalah budaya kemelayuan yang bertunjangkan agama Islam. Masyarakat ini hidup dengan aman di Tawau tanpa terpengaruh dengan budaya dari Indonesia dan Filipina yang dibawa oleh masyarakat pendatang dari kedua buah negara jiran tersebut.Contoh penempatan awal Masyarakat Melayu Suluk Tawau bersama Masyarakat Melayu Tidung ialah di Kampung Batu Payung, Kampung Apas Balung, Kampung Membalua, Kampung Indrasabah, Kampung Wakuba dan Kampung Ranggu.

Pemimpin Masyarakat Melayu di Tawau yang sangat berjasa ketika sebelum dan awal kemerdekaan negeri Sabah ialah Datuk Abu Bakar Titingan, Pengasas Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau ( PKMT ) pada tahun 1945. Ketua pemimpin Masyarakat Melayu pertama di Tawau yang dilantik oleh Kerajaan British ( Penghulu ) pada awal 1900an iaitu OKK Kee Abdullah juga anak angkat kepada seorang nelayan berbangsa Suluk Kudat bernama Ibrahim dan isteri beliau juga adalah seorang wanita Suluk Tawau bernama Jumatiah binti Ami Maidin. Selain itu, terdapat ramai pemimpin dari masyarakat Melayu keturunan Suluk di Tawau yang dilantik menjadi Ketua Anak Negeri sebagai menunjukkan membuktikan yang Masyarakat Melayu Suluk Tawau adalah penduduk asal di Tawau. Antaranya ialah OKK Abu Bakar dan OKK Salleh Sailabi.

TIDUNG TAWAU

Suku kaum Tidung adalah suku kaum rumpun Melayu yang banyak terdapat di bahagian tenggara Sabah iaitu sekitar daerah Tawau dan Sebatik. Antara suku kaum Melayu Tidung begitu dikenali di Tawau ialah Tidung Apas, Tidung Indrasabah, Tidung Membalua, Tidung Kalumpang, Tidung Pasir Putih, Tidung Merotai dan Tidung Kalabakan. Terdapat juga ramai suku kaum Tidung di beberapa kawasan di Sandakan seperti di Beluran dan Labuk.
Selain itu, suku kaum Tidung juga boleh di dapati di beberapa tempat di Indonesia. Masyarakat suku kaum Tidung di Indonesia yang agak dikenali ialah Tidung Tarakan, Tidung Nunukan, Tidung Sembakung , Tidung Sesayap dan Tidung Malinau. Jika dilihat secara geografinya, masyarakat Tidung ini menduduki kawasan memanjang bermula di Beluran Sandakan hingga ke Tawau ( Apas , Merotai dan Kalabakan ) dan seterusnya di Tarakan , Sesayap , Sembakung dan Malinau di Indonesia.

Asalnya Tanah Tidung yang dimaksudkan adalah mencakupi kawasan dari daerah Beluran di Sandakan seterusnya di kawasan Batu Tinagat di sebelah timur Tawau ( bersama masyarakat Suluk ) hingga ke Apas dan ke sebelah barat Tawau di Merotai dan Kalabakan dan bersambung hingga ke Kalimantan timur termasuklah Nunukan, Tarakan, Tanjung Selor ( bersama masyarakat Bulungan ), Sesayap, Sembakung sehinggalah sejauh ke daerah pedalaman di Melinau. Namun setelah zaman penjajahan, Tanah Tidung ini terpisah oleh pembahagian kawasan dan pentadbiran yang dilakukan Inggeris dan Belanda yang kemudiannya merdeka menjadi dua buah negara yang berasingan iaitu Malaysia dan Indonesia.

( Nota : Masyarakat Tidung di Sabah ( khususnya di Kalabakan, Merotai, Sebatik, Apas dan juga Beluran ) adalah masyarakat peribumi ( natives ) dan kedudukan ini diwartakan
dalam Perlembagaan Negeri Sabah serta dilengkapkan dengan bukti kesahihan di Pameran Galeri Masyarakat Peribumi Sabah di Muzium Negeri Sabah . Mereka adalah penduduk asal di Sabah yang mendiami persisiran pantai timur dan tenggara Sabah dan Kalimantan Timur ( Borneo ) bersama masyarakat Sungai, Idahan, Bajau dan Suluk )

( Walaupun terdapat masyarakat Tidung serumpun di sebelah sempadan Indonesia yang juga berada tanah besar yang sama ( Borneo ) namun masyarakat Tidung di Indonesia ( Tanjung Selor, Melinau, Tarakan dan Nunukan namun masyarakat Tidung serumpun di Indonesia tidak suka berhijrah kerana mereka lebih selesa di kampung halaman dan di tanah kelahiran sendiri yang juga turut berkembang maju taraf ekonominya sama seperti di Malaysia. Seperti juga masyarakat Tidung yang terpisah kerana sempadan negara, masyarakat Brunei Malaysia di Papar, Kawang dan Bongawan juga terpisah dengan masyarakat Brunei serumpun di negara Brunei Darussalam. ( Masyarakat Suluk di tanah besar Sabah ( Borneo ) juga dipisahkan dengan masyarakat Tausuq di Filipina ( Kepulauan Sulu, Tawi-Tawi dan Basilan ) oleh sempadan negara walaupun jaraknya yang sangat dekat. Ini membuktikan masyarakat Tidung , masyarakat Brunei dan masyarakat Suluk di Sabah adalah masyarakat peribumi ( natives ) walaupun masyarakat ini terdapat di negara jiran kerana mereka semua berada di tanah yang sama namun dipisahkan oleh sempadan negara yang ditentukan ketika mencapai kemerdekaan daripada penjajah. )

SEJARAH MASYARAKAT TIDUNG

Mengikut sejarah, masyarakat Tidung wujud ini kawasan ini sejak zaman dahulu lagi. Mereka adalah etnik Muslim dan menggunakan bahasa Melayu untuk berkomunikasi dengan entiti masyarakat lain di sekitarnya seperti masyarakat Sungai ( Beluran dan Labuk ), masyarakat Suluk ( Lahad Datu dan Tungku ), masyarakat Idahan ( Silam dan Madai ), masyarakat Bajau ( Semporna dan Omadil ), masyarakat Bulungan ( Tanjung Selor), masyarakat Banjar ( Banjarmasin ), masyarakat Kutai dan masyarakat Berau yang merupakan penghuni asal di daerah Borneo Timur. Dalam catatan sejarah, sekitar tahun 1800an, terdapat beberapa buah kerajaan Kesultanan Melayu Islam yang wujud di Kalimantan Timur seperti Kesultanan Bulungan ( Sultan Kaharuddin I ) di Tanjung Palas, Kerajaan Tidung Tengara ( Amiril Pengiran Tadjuddin ) di Tarakan, Kesultanan Kutai, Kesultanan Berau, Kesultanan Paser (Sultan Sulaiman Alamsyah) di Balik Papan dan Kesultanan Banjar Sultan Tamjidullah II .

Masyarakat Tidung dahulu kala tinggal di sepanjang sungai-sungai di pertengahan Borneo Timur hingga sejauh ke utara di Batu Tinagat berdekatan Tawau. ( Henry Roth : 1896 ). Bukti jelas kewujudan bangsa Tidung adalah yang terawal di kawasan daerah Tawau ialah nama tempat yang dinamakan menggunakan panggilan dalam bahasa Tidung seperti nama Tinagat yang bermaksud ‘tebang’ dan Membalua yang bermaksud ‘hantu’. Mungkin kerana dulunya di Batu Tinagat ( Kampung Batu Payung ) ini adalah kawasan hutan tebal yang perlu ditebang dan Kampung Membalua pula dulunya dianggap kawasan berhantu. Tawau sendiri dipercayai dinamakan menggunakan panggilan dalam bahasa tidung yang bermaksud ‘mata pancing’.

Tercatat dalam sejarah yang mengatakan pernah wujud sebuah kerajaan Melayu Islam Tidung di Tarakan pada kurun ke 16 yang juga dikenali sebagai Kerajaan Tengara. Di dalam fakta sejarah Borneo, kerajaan Tidung di Tarakan bermula pada tahun 1557 dan lokasinya di kawasan Pamusian DI wilayah Tarakan Timur. Pemerintahnya yang pertama ialah Amir Rasyid ( Dato Raja Laut (1557-1571). Dinyatakan juga dalam fakta sejarah Borneo bahawa Sultan Tarakan yang ke 10 iaitu Amir Pengiran Jamalul Kiram ( 1844-1867 ) yang tiada waris lelaki, telah mengahwinkan puterinya, Putri Intan Dura dengan anak Sultan Bulungan Sultan Kaharudin II ( 1875-1889 ), Datu Maulana. Dan berikutan dari peristiwa itu, Datu Maulana telah menjadi Sultan Tarakan pada tahun 1867. Dan seterusnya putera mereka, Datu Adil ( 1896-1916 )adalah pemerintah Kerajaan Tidung Tarakan yang terakhir. Selain itu, terdapat juga bukti kewujudan penempatan masyarakat Tidung tertua di kawasan Pulau Kalumpang dan di sekitar Kuala Sungai Kalumpang berdekatan Semporna. Penempatan ini dikatakan dimulakan oleh seorang bangsawan bernama Pengiran Anum sekitar tahun 1800an. Kini di sana, masih wujud tapak perkuburan dan makam lama serta keturunan generasi ke 7 dan 8 kepada Pengeran Anum yang menjadi bukti kewujudan pemerintahan Pengiran Anum ini suatu masa dulu.

MASYARAKAT TIDUNG TAWAU

Masyarakat suku kaum Melayu Tidung di Tawau adalah penduduk asal di Tawau. Penempatan asal ialah di kawasan yang kini dikenali sebagai Tawau lama iaitu di sekitar Kuala Sungai Tawau. Nama Tawau sendiri adalah mendapat nama dari bahasa Tidung asli iaitu ‘Tawai’ yang bermaksud ‘mata pancing’. Ini adalah kerana rata-rata penduduk asal tempatan di kawasan yang dikenali Tawau Lama ini adalah golongan nelayan. Ramai di kalangan masyarakat Melayu Tidung memiliki perahu yang dipanggil perahu Kajang. Selain itu, mereka juga mengusaha tanaman padi bukit sebagai sumber makanan harian mereka.

Walaupun masyarakat Melayu Tidung pernah menghuni di kawasan yang dikenali sebagai Tawau Lama ( Old Tawau ) ini namun setelah kawasan ini dimajukan oleh pihak British pada tahun 1896, kebanyakan mereka telah berhijrah ke kawasan lain seperti di Apas ( di sebelah timur Tawau ) dan Merotai ( di sebelah utara Tawau ). Sehingga kini, mereka masih lagi menjadi penduduk asal dan pemilik tanah di sana. Manakala tidak lama selepas itu, Tawau Lama juga telah ditinggalkan dan Pekan Tawau yang baru telah diwujudkan di sebuah kawasan lain yang dikenali sebagai ‘Tanjung’. Lokasi bandar Tawau ini kekal hingga ke hari ini dan kawasan ini juga dikenali sebagai Dewan Undangan Sri Tanjung.

Hari ini, masyarakat Tidung di kawasan sekitar bandar Tawau telah wujud sebagai Masyarakat Melayu kerana berlakunya perkahwinan hampir semua ahli masyarakat ini dengan masyarakat Melayu lain seperti Jawa, Suluk, Banjar, Arab, Iban Muslim dan sebagainya sejak sekian lama. Mereka mengamalkan budaya Melayu dan hanya bertutur dalam bahasa Melayu. Namun sebaliknya di kawasan lain seperti Kalabakan dan Sebatik ( termasuk juga Inderasabah dan Membalua ), masih ramai lagi masyarakat Tidung yang kekal wujud sebagai bangsa Tidung kerana masyarakat di daerah ini agak kurang mengamalkan perkahwinan campur dengan masyarakat lain. Ini berlaku mungkin kerana faktor kedudukannya yang agak terpisah dengan masyarakat Melayu lain. Mereka kekal mengamalkan adat dan budaya Tidung asli hingga ke hari ini.

PENEMPATAN MASYARAKAT TIDUNG

Mengikut sejarahnya dahulu, kawasan penempatan Tidung di Tawau adalah di bawah kekuasaan Kesultanan Melayu Sulu. Sebelum itu, telah lama wujud penempatan terawal masyarakat Melayu Tidung di Kalabakan, kampung tertua di Tawau yang terletak di bawah naungan Kesultanan Bolongan-Tarakan. Juga terdapat bukti sejarah kewujudan penempatan Melayu Tidung diSerudong ( berdekatan Kalabakan ) sewaktu ketika dahulu di bawah pimpinan Datu Alun yang pernah menjalinkan hubungan dengan Kesultanan Bolongan. Namun,penempatan itu tinggal sejarah setelah Datu Alun bersama para pengikutnya kembali ke Tanjung Selor, Bolongan kerana telah lanjut usia dan mahu mangkat di sana.

Manakala di kawasan-kawasan lain pula termasuk Tawau , Silam, Lahad Datu dan Sandakan pula adalah yang terletak di bawah naungan pemerintahan kesultanan Melayu Sulu. Dengan adanya pengaruh dan naungan Kesultanan Sulu inilah yang membawa kepada penyebaran agama Islam di kalangan masyarakat Melayu Tidung dimana penyampaian dakwah Islamiah ini disampaikan oleh pendakwah dan ulamak dari negara Arab yang berhijrah ke Kepulauan Sulu. Buktinya kini pengaruh Arab begitu kuat dalam adat resam dan kebudayaan masyarakat Melayu Tidung.

BUDAYA MASYARAKAT MELAYU TIDUNG

Dalam budaya masyarakat Melayu Tidung, tarian zapin atau zipin serta alat muzik seperti gambus dan kompang yang berasal dari budaya Arab sudah lama digunakan sejak turun temurun. Di Tawau ini juga terdapat masyarakat Melayu keturunan Arab dan Habib yang merupakan golongan pendakwah Islam terdahulu yang telah menetap di sini dan berkahwin dengan masyarakat tempatan.

Dari segi cara hidup dan adat tradisi masyarakat Melayu Tidung di Tawau ialah sama seperti masyarakat Melayu yang lain. Mereka berpakaian baju Melayu atau lebih dikenali ‘Baju Selangur’ dan wanitanya memakai baju kurung. Mereka juga lebih biasa bertutur dalam bahasa Melayu lebih lebih lagi kerana mereka telah pun berkahwin campur dengan masyarakat suku kaum yang lain seperti Melayu Suluk, Melayu Bolongan, Melayu Banjar dan Melayu Arab. Oleh itu, tidak hairanlah makanan dan pakaian mereka juga adalah makanan dan pakaian orang-orang Melayu.

PEMIMPIN MASYARAKAT MELAYU TIDUNG DITAWAU

Pemimpin pertama masyarakat Tidung yang diiktiraf di Kalabakan ialah Imam Salleh. Imam Salleh telah dilantik secara rasmi sebagai ketua masyarakat Melayu Islam Peribumi ( Native Chief ) di Kalabakan menggantikan abangnya Bujong Seripa yang meninggal dunia. Bujong Seripa sebelum itu telah lama menjadi pemimpin masyarakat di Kalabakan. Perlantikan Imam Salleh ini diiktirafkan Kerajaan British Borneo pada tahun 1923. Beliau memegang jawatan tersebut hingga tahun 1958 iaitu sehingga akhir hayat beliau ketika berumur 123 tahun. ( Rujuk : Buku ‘ Tawau The Making of a Tropical Community , tulisan Ken Goodlet , Opus Publication : 2009 )

Manakala di Tawau pula imam pertama yang dilantik adalah dari keturunan Melayu Tidung ialah Imam Sabah. Ramai lagi pemimpin Melayu yang berketurunan Tidung seperti Haji Imam Awang, Imam daerah sekitar tahun 1950an dan 1960an dan juga Imam Galundang , seorang pemimpin masyarakat di Kampung Tanjung Batu sekitar tahun 1950an hingga 1960an. Imam Mustapa iaitu imam dan pemimpin yang dilantik oleh Kerajaan British sebagai Ketua Masyarakat ( native chief ) di Tawau pada tahun 1925 ( sewaktu zaman penjajahan dahulu ) adalah dari keturunan Melayu Tidung. Begitu juga Penghulu dan Ketua Anak Negeri di Tawau sekitar tahun 1990an iaitu OKK Salleh Ajak juga adalah berasal dari keturunan Melayu Tidung.

BUGIS DI SABAH

Kewujudan orang-orang Bugis Wajo bersama-sama masyarakat Melayu lain di Tawau seperti orang orang Tidung, Suluk dan Bajau bersama pemimpin mereka sejak kolonial lagi. Mereka diminta oleh British Borneo mengusahakan tanaman kelapa di Tawau Lama. Menetap dan berkahwin dengan gadis tempatan seperti Suluk dan Tidung. Mereka tidak lagi bertutur bahasa Bugis atau mengamalkan adat Bugis sebaliknya bertutur dan mengamalkan cara hidup Melayu tempatan. Oleh itu, mereka telah menganggap diri mereka adalah orang Melayu tempatan.

Bugis Sabah adalah merujuk kepada individu yang dilahirkan daripada keturunan orang Bugis di sebelah bapanya serta berketurunan Bugis juga di sebelah ibunya yang tinggal di Sabah, Malaysia. Di Sabah, bangsa Bugis telah menjadi salah satu kumpulan masyarakat yang terbesar hingga kini.[perlu rujukan] Ini adalah rangkuman daripada jumlah rakyat Indonesia berbangsa Bugis dan juga golongan bangsa Bugis yang telah menjadi sebahagian warganegara Malaysia di Sabah.

Bugis di Sabah ( khususnya Bugis Wajo ) yang datang ketika zaman British dan sebelum Sabah merdeka dianggap penduduk asal atau peribumi di Negeri Sabah ( tidak sama seperti imigran-imigran dari Tanah Besar China atau India ). Ini kerana mereka bukanlah warganegara Indonesia dimana negara Indonesia belum wujud pada ketika itu. Realitinya juga menurut fakta sebenarnya kesemua masyarakat Bugis Wajo di Tawau kini telah pun bercampur keturunan mereka melalui perkahwinan dengan masyarakat Melayu lain seperti Tidung dan Suluk ( yang diiktiraf sebagai penduduk peribumi di Sabah ) yang mana proses ini sudah berlaku lebih seratus tahun di Tawau. Sebaliknya pula majoriti Bugis yang ada di Sabah hari ini pula adalah bekas warganegara Indonesia dan anak cucu mereka iaitu Bugis yang berhijrah dari Indonesia tetapi kini sebahagian besarnya telah mempunyai kewarganegaraan Malaysia ( khususnya di Tawau ).

Selain itu, berdasarkan dari rekod Jabatan Imigresen Malaysia, 70 % warganegara Indonesia di Sabah juga adalah daripada etnik Bugis. Umumnya kewujudan mereka di Sabah secara meluas agak terkemudian kerana mereka telah bermastautin di sini selepas kewujudan negara Indonesia yang merdeka selepas pada 17 Ogos 1945 iaitu akhir tahun 1960an, 1970an dan kemuncaknya ketika 1980an seterusnya berterusan sehinggalah ke hari ini[perlu rujukan]. Sebab utama rakyat Indonesia ini dahulunya sanggup datang sejauh ini ke Malaysia adalah atas sebab faktor ekonomi yang menjanjikan kehidupan yang lebih baik di Malaysia berbanding di tanah air mereka.( [1])

Terdapat juga sedikit masyarakat Melayu Tawau yang mempunyai darah Bugis ( telah bercampur darah dan keturunan dengan Melayu lain melalui perkahwinan ) namun golongan orang-orang Melayu yang mempunyai darah Bugis ini tidaklah sama dengan golongan orang-orang Bugis yang berketurunan Indonesia. Bugis Keturunan Indonesia adalah berbeza dengan masyarakat Melayu yang banyak di Tawau ( wujud dari perkahwinan campur di kalangan suku-suku kaum Melayu seperti keturunan Suluk, Tidung, Iban Muslim, Jawa, Banjar dan juga keturunan Bugis sendiri khususnya Bugis Wajo.

Ini kerana orang-orang Bugis asli dari Indonesia ini kurang gemar perkahwinan campur dengan masyarakat Melayu tempatan di Sabah. Sebaliknya mereka cenderung berkahwin dengan sesama sendiri (di kalangan Bugis Indonesia) dan hidup dengan mengamalkan cara hidup mereka sendiri iaitu adat resam dan budaya Bugis atau gaya hidup Indonesia. Mereka juga lebih suka bertutur dengan bahasa Bugis dan menggunakan loghat Bugis jika bertutur dalam bahasa Melayu.

( Nota : Masyarakat Bugis Wajo bukanlah Bugis Indonesia kerana kewujudan mereka di Tawau seratus tahun dulu sebelum kewujudan negara Indonesia. Mereka juga telah berkahwin campur dengan masyarakat Melayu lain dan tidak tahu berbahasa Bugis dan tidak mengamalkan adat dan budaya Bugis. Penghulu Puado, Daeng Mepata ( Mustapa bin Supu ) dan Pengeran Kuning adalah perantau Bugis Wajo asli dari Sengkang dan Kutei. Cucu-cicit mereka yang dikenali orang-orang Melayu ialah Abdullah Salim Puado dan Ahmat Mepata.Banyak perkawinan campur di kalangan mereka misalnya Ahmat Mepata berkahwin dengan bangsa Tidung dan Ampong Kerahu ( cucu Puado dan Mepata telah berkahwin dengan cucu Kee Abdullah ( Kee Safiah ) pada tahun 1935.)

Mengikut analisis semasa komuniti Bugis di Sabah boleh dibahagikan kepada 3 bahagian. Pembahagian kumpulan etnik Bugis adalah seperti berikut : Melayu Berdarah Bugis ( 10 % ), Bugis Bertaraf Wargenegara ( 30 % ) , Bugis Indonesia Bukan Bertaraf Warganegara ( 60 % )

Tafsirannya adalah Melayu Bugis ialah masyarakat Melayu Tawau ( campuran darah pelbagai keturunan Melayu melalui perkahwinan ) yang mempunyai darah Bugis namun tidak mengamalkan budaya Bugis dan tidak tahu bertutur dalam bahasa Bugis. Ini kerana kewujudan mereka di Sabah sudah terlalu lama ( ketika penjajahan Inggeris dan pendudukan Jepun )dan keturunan mereka sudah bercampur melalui perkahwinan dengan keturunan Melayu yang lain seperti Tidung, Arab, Suluk,Banjar, Jawa dan Kokos . Jumlah mereka adalah sedikit dan sukar dikenalpasti kerana mereka menganggap diri mereka adalah keturunan Melayu Tawau. Mereka juga hanya tahu bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan budaya Melayu.

Tafsiran Bugis Indonesia Bukan Warganegara pula ialah golongan pekerja Indonesia yang berbangsa Bugis yang terdapat di negeri Sabah. Mereka ini bertaraf warganegara Indonesia dan bekerja secara sah di Sabah menggunakan pasport luar negara. Ramai yang sedang memohon taraf kerakyatan di Putrajaya.

Manakala tafsiran Bugis Bertaraf Warganegara pula ialah kumpulan pendatang Indonesia yang dilahirkan di Sulawesi selatan dan datang ke Sabah ( selepas tahun 1947 ) semata-mata untuk bekerja di ladang-ladang. Kemudian mereka melahirkan anak-anak di sini yang kemudiannya mendapat pendidikan di sekolah sekolah kerajaan dan juga universiti-universiti seluruh Malaysia termasuklah Universiti Malaysia Sabah. Hari ini mereka dan anak-anak mereka yang telah dewasa telah pun mendapat taraf warganegara dan mengamalkan bahasa pertuturan Melayu dan budaya Malaysia sepenuhnya. ( Rujuk : Ken Gotlet, Tawau The Making of a Tropical Community, Opus Publication, 2010.)
Kebanyakan komuniti Bugis di Sabah tertumpu di daerah Tawau hingga ke kawasan daerah sekitarnya seperti Kunak dan Lahad Datu. Mengikut sejarah Tanah melayu adalah dipercayai suku kaum Bugis ini telah meninggalkan Kepulauan Sulawesi menuju ke Pulau Jawa, Sumatera, Semenanjung Malaysia, Kalimantan dan Borneo sejak abad ke-16. [3]Masa kini terdapat puluhan ribu rakyat Indonesia yang berbangsa Bugis berada di Tawau dan menyumbang tenaga mereka yang diperlukan untuk kemajuan Negeri Sabah.

SEJARAH BUGIS TAWAU

Kewujudan orang-orang Bugis ( khususnya Bugis Wajo ) di Tawau pada awal zaman pemerintahan British iaitu sebelum kewujudan Malaysia dan Indonesia adalah dalam jumlah yang sedikit. Mereka ini telah pun berasimilasi dengan masyarakat peribumi tempatan dan menjadi masyarakat Melayu. Mereka tidak tahu bertutur dalam bahasa Bugis, menggunakan loghat Melayu tempatan dan mengamalkan adat dan budaya Melayu.

Manakala kedatangan orang-orang Bugis Indonesia setelah kewujudan Indonesia pada tahun 1950an hingga 1980an, secara beramai-ramai ke Tawau ( Malaysia ) adalah untuk bekerja di ladang ladang getah, koko dan abaka iaitu Ladang Bal Plantation sebuah ladang milik syarikat British. Ada juga Ladang Table, Ladang Abaka, Ladang Tiger dan Ladang Merotai. ( Rujuk : Sejarah Tawau dan Buku ‘ Borneo Under The Sun ‘ , Nicholas Chung , Natural History , 2005 ). Kedatangan rakyat Indonesia ini adalah berterusan hingga ke saat ini. Mereka kebanyakannya bekerja sebagai pekerja kontrak dengan izin atau juga sebagai pemegang pasport untuk bekerja di Tawau di sektor pembinaan dan sektor perniagaan. Tidak hairanlah hari ini di Tawau, jumlah masyarakat Bugis ( Warganegara dan Bukan Warganegara ) adalah penduduk majoriti di Tawau. Malahan jumlah mereka turut berkembang di seluruh negeri Sabah.

Masyarakat Bugis sebenarnya terdiri daripada pelbagai suku kaum Bugis mengikut tempat asal mereka di Sulawesi Selatan seperti Bugis Bone, Bugis Enrekang dan Bugis Pinrang. Namun bangsa Bugis ini tidaklah sama dengan Bangsa Makasar, penduduk majoriti di Kota Makasar ( Ujung Pandang ), bangsa Toraja di Tanah Tinggi Sulawesi Selatan, bangsa Mandar di Sulawesi Barat ( Kota Mamuju ), bangsa Khaili di Sulawesi Tengah ( Kota Palu ), bangsa Buton di Sulawesi Tenggara ( Kota Kendari ) dan bangsa Minahasa di Sulawesi Utara ( Kota Manado ). Oleh kerana kepadatan tinggi di Kota Makasar yang dikuasai bangsa Makasar, bangsa Bugis banyak keluar mencari pekerjaan di kota-kota lain di Indonesia seperti Samarinda, Tarakan dan Nunukan.

Dengan adanya Tawau, bandar negara Malaysia yang terdekat, mereka berduyun-duyun datang untuk mencari rezeki di Malaysia yang memang menyediakan banyak peluang pekerjaan dengan gaji yang lumayan. Di Tawau, mereka berusaha untuk mendapatkan kerakyatan negara Malaysia dengan cara tinggal dalam tempoh yang lama di Tawau. Ada di antara mereka yang lari ke sini kerana krisis ditempat mereka seperti kedatangan Belanda, maka sebab itu mereka lari merantau ke sini ada diantara mereka mengikut bangsawan mereka lari dan pengikut mereka turut serta, mencari perlindungan dari kolonial belanda.

MELAYU BERDARAH BUGIS

Melayu berdarah Bugis ialah masyarakat Melayu yang mempunyai darah keturunan Bugis atau Melayu Peranakan Bugis yang terdapat di Semenanjung Malaysia seperti di Johor dan tertumpu di kawasan Pekan, Pahang dan juga di kawasan Kuala Selangor dan Kuala Linggi di Negeri Sembilan. Walau bagaimanapun masyarakat Melayu Bugis ini berbeza dengan bangsa Bugis yang terdapat di Sulawesi Selatan. Ini kerana Melayu Bugis ialah hasil perkahwinan campur antara lelaki Bugis dengan gadis Melayu tempatan yang merantau ke Tanah Melayu sejak ratusan tahun dahulu dan terbentuk dalam suasana budaya kemalaysiaan. Mereka tidak lagi tahu berbahasa Bugis dan tidak mengamalkan adat adat Bugis manakala bangsa Bugis di Sulawesi selatan masih pekat dengan pertuturan Bahasa Bugis, adat resam dan tradisi Bugis yang sangat berbeza dengan adat Melayu selain dari mengamalkan budaya hidup Indonesia. Antara mereka juga telah terputus hubungan sejak ratusan tahun. Yang ada persamaan, hanyalah dari segi warisan makanan dan seni tarian yang masih dikekalkan.

KEHADIRAN MELAYU BERDARAH KETURUNAN BUGIS DITAWAU

Wujudnya masyarakat Melayu berketurunan darah campuran Bugis di Tawau telah bermula sejak dahulu lagi. Kedatangan perantau dari Tanah Bugis ke Tawau untuk mencari rezeki iaitu ketika Tawau menjadi sumber ekonomi kepada Kerajaan Syarikat Borneo British. Perantau ini telah menetap di Tawau dan berkahwin dengan masyarakat Melayu lain seperti Suluk dan Tidung dan menjadi sebahagian dari masyarakat Melayu Tawau. Misalnya Ampong Kerahu ( Bugis ) yang berkahwin Kee Safiah ( Cina Suluk ) dan mewujudkan ramai keturunan Melayu hingga ke hari ini. Masyarakat Bugis yang terdahulu semuanya telah bercampur baur keturunan mereka dengan masyarakat Melayu lain dalam tempoh yang lama dan mereka sudah tidak menganggap diri mereka sebagai orang-orang Bugis tetapi sebagai orang-orang Melayu. Mereka hanya tahu bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamalkan adat dan budaya Melayu Tawau.

Selain itu, mereka juga tidak berasal dari keturunan warganegara Indonesia kerana keturunan mereka wujud dan berhijrah ke Tawau jauh lebih awal sebelum kewujudan negara Indonesia pada 1947 lagi. Mereka telah berada di sini sebelum era pendudukan tentera Jepun lagi dan turut bersama rakyat Melayu tempatan yang lain merasai penderitaan dalam pemerintahan kuku besi tentera Jepun ketika tahun 1941 hingga 1945. Berbanding dengan rakyat Indonesia ( Bugis, Toraja, Timur, Butun ) yang datang ke Tawau setelah Tawau maju sebagai pusat ekonomi perladangan, mereka yang digelar masyarakat tempatan ini tidak boleh disamakan dengan rakyat Indonesia bersuku Kaum Bugis yang berstatus imigran dari negara luar.

Manakala seperti yang diketahui umum, kewujudan rakyat Indonesia berbangsa Bugis di Tawau dan Sabah umumnya, tidak dapat disangkal lagi kerana Tawau adalah pintu masuk ke negara Malaysia yang makmur dengan hasil ekonomi dan peluang pekerjaan yang amat luas kepada rakyat berbanding negara Indonesia yang terlalu padat penduduknya. Bugis di Tawau boleh dibahagi kepada 2 kategori iaitu Melayu keturunan Bugis dan Bugis Tulen.

Bugis Tulen adalah berbeza dengan Melayu Bugis.

Melayu Bugis ialah berasal dari kumpulan perantau lelaki kaum Bugis yang datang menetap di Tawau dan berkahwin dengan masyarakat tempatan. Mereka tidak lagi bertutur dalam bahasa Bugis dan tidak mengamalkan adat resam Bugis sebaliknya hanya tahu berbahasa Melayu dan mengamalkan adat tradisi dan cara hidup Melayu Tawau. Sama seperti Masyarakat Melayu keturunan Arab yang tidak tahu berbahasa Arab, masyarakat Melayu keturunan Bugis juga tidak tahu berbahasa Bugis. Masyarakat melayu Bugis ini adalah sebahagian dari masyarakat Melayu. Oleh yang demikian, mereka senang bergaul dengan sesama bangsa Melayu dan anak anak mereka bebas berkahwin di kalangan bangsa Melayu.

Mengikut Sejarah Tawau,

3 kumpulan perantau Bugis ini di antaranya ialah:

1. Penghulu Puado ( seorang peniaga berbangsa Bugis Wajo yang berniaga di antara Banjarmasin dan Sandakan) mengetuai 25 lelaki terdiri Bugis, Suluk, Bajau dan Tidung dari Sandakan untuk membuka penanaman di Tawau atas galakan Residen Inggeris, William Fryer di Sandakan.[4]

2. Daeng Passawa atau Pengeran Kuning bersama orang-orang dan ahli keluarganya (masyarakat Bugis Wajo yang menetap di sekitar Samarinda selama ratusan tahun) dari Kutei di Kalimantan Timur, yang bertindak atas arahan Belanda yang juga mahu menguasai kawasan penempatan di Tawau.

Situs: http://ysffahmad.blogspot.my/2013/09/sejarah-tawau-vol2.html

Komen