Sedia khidmat percuma lukis khat di masjid

Sedia khidmat percuma lukis khat di masjid

ISMAIL Bacho lakukan kerja amal itu sejak awal Januari lalu. – Foto Ihsan Ismail Bacho

TAWAU: Berbekalkan bakat semula jadi, seorang pelukis di sini memberi khidmat percuma melukis khat di masjid dan surau.

Ismail Bacho, 43, yang berasal dari Kunak melakukan kerja amal itu sejak awal Januari lalu dengan setakat ini, bapa kepada lima anak itu sudah memberi khidmatnya kepada lima masjid dan surau di sekitar bandar ini.

PELUKIS, Ismail Bacho memberi khidmat percuma melukis khat di masjid dan surau sekitar Tawau. – Foto Ihsan Ismail Bacho

Bekas penyelia Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) itu ketika dihubungi berkata, idea melukis khat secara percuma timbul sejak sekian lama, namun beliau hanya bersedia melakukannya bermula tahun ini.

Katanya, beliau menamakan misinya itu sebagai misi Mardhatillah iaitu mengharapkan reda Allah.

“Saya tiada harta untuk diinfakkan, hanya dengan sedikit kemahiran dan kudrat yang ada sahaja mampu disumbangkan. Mudah-mudahan dengan cara ini, saya beroleh ganjaran pahala yang sama seperti orang yang mengeluarkan hartanya ke jalan Allah.

ISMAIL Bacho memberi khidmat percuma melukis khat di masjid dan surau. – Foto Ihsan Ismail Bacho

“Saya bukannya pelukis khat yang hebat, cuma memanfaatkan kemahiran yang ada selagi masih ada kekuatan,” katanya kepada BH.

Bercerita lebih lanjut, Ismail berkata, bakat melukis itu bermula sejak kecil, namun tidak pernah mengikuti mana-mana pertandingan dan ketika ini beliau bergerak bersama-sama Persatuan Seni Khat Sabah (PKKS).

Katanya, khidmat melukis khat dilakukan pada bila-bila masa bagi masjid yang terletak berhampiran, manakala bagi masjid yang jauh terutama di luar daerah, ia cuma dilakukan pada hujung minggu atau cuti sekolah kerana perlu menguruskan persekolahan anak.

“Buat masa ini, cuma saya seorang yang menyediakan perkhidmatan melukis khat secara percuma untuk papan tanda masjid dan surau.

“Saya ada perancangan untuk menyumbangkan tenaga di luar Sabah seperti di Semenanjung kerana sebahagian besar yang meminta khidmat saya adalah dari Semenanjung,” katanya.

Selain melukis khat secara percuma, Ismail menerima tempahan untuk melukis di atas kanvas dan membuat perniagaan mencetak baju secara kecil-kecilan. – Berita Harian

Sabahpost

Komen