Sebanyak 28 kilang beroperasi di POIC Lahad Datu jana 1,300 peluang pekerjaan

Sebanyak 28 kilang beroperasi di POIC Lahad Datu jana 1,300 peluang pekerjaan

KOTA KINABALU, 17 April – Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) Lahad Datu mempunyai 28 projek perkilangan yang aktif dan beroperasi sepenuhnya, kata Menteri Perdagangan dan Perindustrian negeri Datuk Wilfred Madius Tangau.

Menurut beliau projek perkilangan ini menjana lebih 1,300 peluang pekerjaan termasuklah dalam bidang pengurusan, kompeten, pekerja mahir dan juga separa mahir.

“Kebanyakan pekerja yang diambil adalah merupakan penduduk asal Lahad Datu dan dari daerah berhampiran iaitu Sandakan dan Tawau,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Osman Jamal (WARISAN-Balung) yang bertanyakan sejauh mana peranan POIC Lahad Datu untuk menstabilkan harga pasaran CPO di Sabah dan berapa banyak peluang pekerjaan telah diwujudkan sejak POIC Lahad Datu beroperasi.

Dalam pada itu, Wilfred yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata penglibatan dalam perdagangan komoditi niaga hadapan akan membolehkan harga yang lebih baik bagi minyak sawit mentah (CPO) di negeri ini.

Katanya ini bermakna, CPO tersebut bukannya dijual ke tempat yang dikhaskan untuk perdagangan dan penghantaran segera yang biasanya selesai dalam tempoh beberapa hari.

Menurutnya harga perdagangan komoditi tumpuan lebih terdedah kepada tekanan harga penawaran dan permintaan segera.

“Ini membolehkan peniaga yang terlibat dalam perdagangan atau kontrak niaga hadapan boleh memutuskan untuk melakukan jualan di masa hadapan apabila harga mungkin lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata kontrak niaga hadapan menetapkan harga dan penghantaran dalam kuantiti tertentu pada tarikh yang lebih lewat berbanding komoditi tumpuan yang biasanya diselesaikan dalam tempoh beberapa hari.

Komen