Saya minum terus dari paip – Menteri

Saya minum terus dari paip – Menteri

DR A Xavier Jayakumar

KUALA LUMPUR: Kualiti air paip di Malaysia ketika ini yang melalui proses saringan dan pembersihan di loji tapisan, selamat diminum secara terus.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, berkata kegagalan pengguna untuk minum dari paip secara terus bukan berpunca daripada loji.

“Memang, air yang keluar dari paip boleh diminum di seluruh Malaysia, tiada masalah. Kalau ada masalah, itu masalah tempatan, bukan sebab loji.

“Air yang keluar dari loji di seluruh Malaysia, 100 peratus boleh diminum. Memang saya minum terus dari paip,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ismail Said (BN UMNO-Kuala Krau) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ismail meminta penjelasan berhubung kenyataan didakwa dikeluarkan Ketua Setiausaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bahawa sudah tiba masanya air yang keluar dari paip di negara ini selamat untuk terus diminum.

Menjawab soalan tambahan William Leong Jee Keen (PH PKR-Selayang) berhubung langkah kerajaan menangani kesan penerokaan hutan, khususnya kawasan berdekatan empangan terhadap sumber air negara, Xavier berkata, faktor itu berpunca daripada pelbagai sebab, termasuk bagi menampung jualan kelapa sawit di pasaran antarabangsa.

Bagaimanapun, pihaknya menjalin kerjasama dengan kerajaan negeri menerusi penguatkuasaan berteraskan peruntukan undang-undang sedia ada di peringkat Kerajaan Persekutuan, selain enakmen dan ordinan kerajaan negeri bagi membendung penularan kesan penerokaan hutan.

“Di Kedah baru-baru ini, kita tarik balik kontrak pembalakan di lembangan Kuala Muda, selain di Perlis dan Pulau Pinang dalam usaha mengekang kesan langsung kegiatan berkenaan terhadap operasi empangan.

“Kita mempunyai garis panduan yang menetapkan supaya kawasan litupan hutan Malaysia perlu berada pada kadar sekurang-kurangnya 50 peratus bagi menjamin keseimbangan faktor penjanaan air semula jadi menerusi lembangan.

“Sekarang, kadar litupan hutan ialah 53.2 peratus, termasuk Sabah dan Sarawak, tetapi kita akan gagal capai perangkaan minimum jika hanya bergantung kepada ‘kawasan hijau’ di Semenanjung.

“Oleh itu, semua negeri perlu memainkan peranan bagi memastikan kadar litupan hutan kita tidak kurang daripada 50 peratus,” katanya. – B.harian.

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

cnews@nstp.com.my

Komen