Saya kena cari kerja untuk rakyat Sabah: Shafie

Saya kena cari kerja untuk rakyat Sabah: Shafie

KOTA KINABALU: Sediakan pekerjaan untuk anak-anak Sabah supaya dapat kehidupan yang lebih baik.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, adalah menjadi keutamaan kepadanya untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

“Rakyat Sabah dahagakan pekerjaan, maka saya perlu sediakan lebih banyak peluang pekerjaan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan itu menjadi keutamaan kepada saya.

“Walau bagaimanapun, ini tidak boleh dijayakan dalam jangka masa yang pendek dan ia akan mengambil sedikit masa oleh itu saya berharap rakyat Sabah agar dapat bersabar.

“Kerajaan akan mempertingkatkan produk pelancongan tempatan selain membangunkan sektor industri minyak dan kayu kayan agar kekayaan ini dapat dikongsi sebaik mungkin oleh semua rakyat di negeri,”ujarnya.

Shafie turut berharap keselamatan di rantau ini dapat dipelihara dengan kerjasama kerajaan Sulawesi dan Mindanau.

“Saya telah dikunjungi oleh Gabenor Sulawesi dan Gabenor Mindanau yang mana saya sebutkan kepada mereka betapa pentingnya untuk mencari kaedah menjaga keselamatan rantau ini.

SHAFIE (dua dari kanan) memalu gendang sebagai simbolik perasmian sambutan tersebut.
SHAFIE (dua dari kanan) memalu gendang sebagai simbolik perasmian sambutan tersebut.

“Mencari nafkah bukan dengan menyusahkan orang lain, menculik, atau membunuh, kerana itu bukan satu pekerjaan atau amalan yang dituntut oleh mana-mana agama.

“Oleh yang demikian, kita perlu berkerjasama dalam perdagangan agar masalah ini dapat ditangani,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Gaya Street Mid-Autumn Lantern Festival 2010 di sini pada Sabtu malam.

Dalam pada itu, Shafie berkata kerajaan negeri akan terus meraikan pelbagai acara perayaan kaum di negeri ini.

“Kita akan terus menyambut perayaan pelbagai kaum yang ada di negeri ini bukan hanya masyarakat Cina tetapi budaya tempatan, festival daripada suku kaum Kedayan, Brunei, Bajau Suluk dan lain-lain akan turut diraikan kerana ini negeri mereka, ini tanah mereka, dan mereka ini rakyat Sabah,”jelasnya.

Hadir sama pada majlis itu adalah isteri Mohd Shafie Datin Seri Panglima Shuryani Shuaib, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Christina Liew, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai, Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu Liang Caide, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Azis Jamman serta Presiden Persatuan Masyarakat Cina Bersekutu Sabah (USCCA) Kota Kinabalu Datuk Susan Wong.-Penerangan. – Utusan Borneo online

Komen