SARIFUDDIN, MA’MUN BERSATU PEGANG AMANAH MEMBELA HAK RAKYAT

SARIFUDDIN, MA’MUN BERSATU PEGANG AMANAH MEMBELA HAK RAKYAT

TAWAU: Menjadi Ketua Bahagian Kalabakan bukan sesuatu yang mudah malah tanggungjawab dan amanah untuk kesejahteraan rakyat yang harus dipikul.

Demikian kata Pembantu Menteri Kewangan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merotai Sarifuddin Hata yang menang tanpa bertanding jawatan Ketua Warisan Bahagian Kalabakan baru-baru ini.

Sarifuddin Hatta(dua dari kiri) dan Ma’Mun Sulaiman (tiga dari kiri) bergambar bersama Naib Ketua Bahagian dan Ketua Wanita. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Katanya, beliau kini mengharapkan 15,000 ahli Warisan untuk berganding bahu dan memberi fokus terhadap hala tuju membela hak rakyat.

“Sememangnya menjadi Ketua Bahagian ini besar tanggungjawabnya dan kita kena jaga ahli sebab sekarang banyak dugaan termasuk banyak parti yang masuk Sabah.

“Tapi saya fikir rakyat sudah bijak dimana perlunya kita bersatu dengan parti yang diinginkan untuk anak Sabah supaya kita lebih kuat menuntut membela hak Sabah,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan semua ahli termasuk individu yang tewas dalam pemilihan parti untuk kembali bersatu.

Sesi bergambar selepas Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan Bahagian Kalabakan. Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

“Menang dan kalah itu adat pertandingan. Agenda kita selepas ini untuk mengadakan mesyuarat melaksanakan Jejak Kasih Warisan supaya kita dapat mendekati mereka dari akar umbi dan mengenalpasti permasalahan mereka.

“Sebelum ini kita sibuk menstruktur kerajaan, jadi sekarang kita harus kembali beramah mesra dengan ahli-ahli parti khususnya untuk Wira dan Wirawati,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian dimenangi Ahli Parlimen Kalabakan, Ma’mun Sulaiman dengan majoriti 93 undi berjaya menewaskan saingan hebatnya, Saharun Abunawas.

Beliau ketika ditemui berkata, pertandingan seperti ini adalah satu inisiatif penyatuan silaturahim antara kepimpinan dengan ahli-ahli Warisan Kalabakan.

“Sebagai Timbalan Ketua Bahagian, kita akan terus menyokong kepimpinan parti termasuklah Ketua Bahagian, dan optimis dengan kepimpinan yang ada.

“Saya juga tidak meletakkan harapan untuk menang dalam pertandingan ini. Tapi saya bersyukur dan berterima kasih atas kepercayaan individu yang memilih saya,” katanya.

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan Bahagian Kalabakan yang diadakan Sabtu lalu, Farizah Kamazeri menang sebagai Naib Ketua bahagian, Ketua Wanita dimenangi Mardiah Menteng.

Ketua Wira disandang oleh Mohd Asfar Abd Latif manakala Ketua Wirawati dimenangi oleh Rina Jainal. – SabahNewsToday

Komen