Sabah wujudkan Majlis Presiden Politik

Sabah wujudkan Majlis Presiden Politik

KOTA KINABALU – Majlis Presiden Parti Politik di Sabah akan diwujudkan bagi memantapkan lagi perkongsian kuasa dan kerjasama dalam memenuhi aspirasi serta kehendak juga keperluan rakyat di negeri ini, kata Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie yang juga Ketua Menteri Sabah berkata majlis presiden itu kelak akan menjadi platform bagi mendengar, memantau seterusnya membincangkan isu-isu disuarakan segenap lapisan rakyat Sabah bagi membolehkan segala permasalahan dihadapi rakyat dapat diatasi secara efisien.

Katanya, majlis presiden itu juga dilihat berupaya memperkukuh lagi perpaduan dan permuafakatan antara parti yang bersama-sama membentuk Kerajaan Negeri Sabah yang baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lepas.

“Adalah penting kepada kita menterjemahkan permuafakatan. Jangan lupa, kita bekerjasama untuk kemakmuran dan hak rakyat Sabah dan ini perlu kita bawa bersama dalam setiap rundingan. Kita lakukan ini adalah untuk kepentingan rakyat Sabah yang hidup dalam kepelbagaian agama, bangsa dan budaya.

Kita perlu bersama-sama membina Sabah baharu (yang mana) perubahan Sabah itu tidak hanya dari segi rupa dan wajah tetapi juga nilai kehidupan rakyatnya. Perubahan ini juga adalah untuk generasi muda Sabah,” katanya berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tritahunan parti Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) Ke-15 di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata beliau yakin Warisan akan mampu membentuk permuafakatan serta bekerjasama baik dengan Upko termasuk parti dalam Pakatan Harapan iaitu DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Amanah Negara untuk terus memacu pembangunan Sabah.

Sementara itu, Pemangku Presiden Upko Datuk Wilfred Madius Tangau berkata, beliau yakin jumlah keanggotaan Upko, yang kini mempunyai lebih daripada 160,000 anggota, akan bertambah kerana parti itu terbukti semakin mendapat tempat di hati rakyat Sabah dan negara.

“Adalah sangat penting bagi kesemua anggota Upko mengembleng tenaga memastikan Upko tetap kukuh, mengutamakan perjuangan dan bukannya kepentingan peribadi atau mana-mana individu.

Kita harus ingat Upko adalah parti yang mahu mengangkat rakyat Sabah ke peringkat lebih baik dalam politik, ekonomi, pendidikan dan sosio budaya. Kita harus berpegang kepada perjuangan ini,” katanya. – Bernama (13 oct 2018)

Komen