Sabah tidak naikkan tarif air

Sabah tidak naikkan tarif air

KETUA Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal beramah mesra dengan orang ramai ketika menghadiri Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di Kota Belud, hari ini. – Foto BERNAMA

KOTA BELUD: Sabah tidak akan menaikkan kadar tarif air buat masa sekarang, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata, apa yang penting sekarang adalah masa untuk menstruktur semula, urus tadbir masalah dan memastikan bekalan air bersih terawat mencukupi untuk keperluan rakyat.

“Buat masa sekarang, kita tiada langkah untuk menaikkan harga air. Tidak ada ertinya menaikkan harga air sedangkan masih banyak kampung yang tiada bekalan air terawat, ini yang perlu kita beri keutamaan.

“Selain itu, untuk memastikan pengurusan yang baik, mengelak ketirisan dan kehilangan sumber.

“Apa yang penting, bekalan air mencukupi dan air dari loji dapat disalurkan ke kampung yang belum ada air,” katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.

Mohd Shafie mengulas sama ada kerajaan Sabah akan mengkaji atau bercadang menaikkan tarif air seperti beberapa negeri.

Sebelum ini, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bercadang menaikkan tarif air secara berperingkat tahun ini.

Pulau Pinang sahkan tarif air naik sehingga 20 peratus, Negeri Sembilan dan Perak masih mengkaji kesan kepada pengguna manakala Johor tidak akan menaikkan kadar tarif utiliti itu atas alasan sudah melakukannya pada 2015.

Difahamkan, ketika ini kadar rata semasa di Sabah ialah 90 sen bagi satu meter padu air sejak tahun 1982.-bharian

Komen