Sabah sasar dua tangga teratas Liga Perdana

Sabah sasar dua tangga teratas Liga Perdana

Mohd Shafie (tengah) menyempurnakan Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pasukan Bola Sepak Sabah untuk musim 2019 di Kota Kinabalu. – NSTP/Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Pasukan Sabah meletakkan sasaran untuk menduduki dua tangga teratas dalam saingan Liga Perdana musim ini sekali gus layak beraksi di Liga Super tahun depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony berkata, tugas berkenaan bukanlah sesuatu yang mudah namun beliau yakin dengan kerjasama semua pihak, sasaran itu bukan mustahil.

“Memang kita akui persiapan menghadapi musim baharu ini sedikit terjejas kerana beberapa faktor termasuklah perubahan pentadbiran SAFA.

“Bagaimanapun, saya yakin dengan kerjasama antara pihak pengurusan dan kejurulatihan selain pemain tempatan yang dimiliki, kita akan mampu memberi saingan kepada pasukan lain dan sasaran untuk pasukan Sabah yang baharu ini adalah untuk layak ke Liga Super,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain Sabah bagi musim 2019, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta beberapa menteri Kabinet Sabah.

Mohd Shafie (tengah) menerima jersi baharu pasukan Sabah pada Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pasukan Bola Sepak Sabah untuk musim 2019 di Kota Kinabalu. – NSTP/Edmund Samunting

Peter berkata, persiapan skuad Sabah kini berjalan lancar namun mereka masih dalam proses mencari beberapa pemain import bagi memperkuatkan pasukan itu.

Katanya, beberapa pemain import termasuk dari Korea Selatan, Brazil dan Indonesia kini menjalani latihan bersama pasukan namun semua pemain itu masih lagi dalam proses penilaian.

“Kita akan maklumkan nanti (kemasukan pemain import baharu), sememangnya ada beberapa pemain yang masih menyertai sesi latihan pasukan namun ia masih belum diputuskan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie ketika ditemui berharap SAFA mampu berdikari dalam mengurus tadbir kewangan persatuan berkenaan tanpa perlu mengharapkan sepenuhnya kerajaan negeri.

“Apa yang penting dengan pentadbiran baharu sekarang ini, mereka perlu mengurus tadbir SAFA khususnya dari segi kewangan dengan baik kerana ia bukan membabitkan perbelanjaan jutaan ringgit, malah lebih daripada itu.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri akan sentiasa menyokong SAFA dan kita akan pantau. Lagipun, kita memerlukan banyak lagi peruntukan untuk membangunkan negeri namun bukanlah bermaksud bola sepak ini diabaikan,” katanya. –bharian

Komen