SABAH SAH BERMAIN LIGA SUPER MUSIM DEPAN, TEWASKAN JDT II 1-0 DI PASIR GUDANG

SABAH SAH BERMAIN LIGA SUPER MUSIM DEPAN, TEWASKAN JDT II 1-0 DI PASIR GUDANG

PASIR GUDANG: Sabah mengesahkan tempat ke Liga Super musim hadapan sekaligus menguatkan lagi cengkaman ke atas kejuaraan Liga Premier 2019 apabila menundukkan JDT II 1-0 di Stadium Pasir Gudang, Johor tadi.

Penyerang dari Serbia, Rodoljub Paunovic menjadi hero Sabah menjaringkan gol kemenangan dengan ledakan daripada jarak 25 meter menewaskan penjaga gawang JDT II Muhammad Haziq Nadzli.

Peter (tengah) meraikan kemenangan dan kemasukan Tambadau ke Liga Super. Gambar SNT/Ihsan Safa

Jaringan minit ke-58 itu diiringi sorakan ribuan penyokong Tambadau di sini. Turut bersama memberi sokongan Pemangku Presiden Safa Datuk Peter Anthony.

Walaubagaimanapun, pasukan tuan rumah hampir memperolehi gol awal menerusi bekas penyerang Sabah, Rozaimi Abd Rahman, yang melakukan rembatan leret kencang dari dalam kotak penalti, namun ianya sekadar menggegarkan tiang gol lawan.

Paunovic diterpa oleh Aguinaldo dan Alto selepas menjaringkan gol pertama Sabah. Gambar SNT/Ihsan Safa

Lima minit kemudian, Tambadau pula terlepas peluang apabila Alto Linus gagal menyambar hantaran lintang penyerang dari Angola, Aguinaldo Mendes Vega dari sebelah kiri.

Pada minit ke-20, Aguinaldo sekali lagi mencemaskan kubu tuan rumah apabila melakukan larian solo termasuk mengelecek penjaga gol JDT II, Muhammad Haziq Nadzli, namun penyudahnya tersasar sedikit.

Peter bersama Datuk Masiung Banah dengan ribuan penyokong Sabah di Stadium Pasir Gudang. Gambar SNT/Ihsan Safa

Pada minit ke-22, Paunovic membuat cubaan bijak selepas melihat penjaga gol JDT II berada jauh dari kotak penalti tetapi hantaran tinggi ke arah pintu gol yang ternganga melencong sipi.

Barisan pertahanan Tambadau diketuai Rawilson Batuil begitu kental sekali ditembus oleh tuan rumah sehingga memaksa ketua jurulatih JDT II, Ervin Boban mengeluarkan penyerang import mereka, Mohamad Ghaddar, untuk digantikan dengan Saarvindran Devandrn pada minit ke-34.

Kedudukan tanpa jaringan kekal pada separuh masa pertama.

Antara penyokong Sabah yang membanjiri Stadium Pasir Gudang. Gambar SNT/Ihsan Safa

Pada babak kedua, tuan rumah dikejutkan oleh pemain pertahanan importnya Francisco Insa Bohigues yang hampir tersepak bola ke gawang sendiri selepas cuba menghalang hantaran lintang Alto, mujur ianya tersasar.

Tambadau dapat bernafas lega pada minit ke-58 apabila Paunovic yang tidak dikawal membawa bola seorang diri dengan Aguinaldo berada di hadapan membuka jalan untuknya meledakkan tendangan lurus ke penjuru atas sebelah kiri gol JDT II.

Permainan berubah menjadi kasar selepas itu dengan pasukan tuan rumah membuat asakan demi asakan.

Pada minit ke-80, penjaga gol Tambadau, Rozaimie Rohim terpaksa menepis bola keluar hasil tendangan percuma Kumaahran Sathasivam dari sebelah kanan pintu gol.

Sewaktu permainan masuk masa kecederaan, Sabah berhadapan dengan situasi cemas apabila tuan rumah dihadiahkan tendangan percuma betul-betul di atas kotak penalti Sabah.

Penyokong Sabah bertambah resah apabila pengadil Mohd Ridzuan Rozali mengarahkan Nicolas Alberto Fernandez mengambil tendangan percuma sekali lagi kerana pertahanan Tambadau bergerak lebih awal.

Namun, malam tadi sememangnya milik skuad Tambadau apabila sepakan percuma kedua JDT II tidak berjaya melepasi benteng Sabah dan sejurus itu pengadil meniup wisel penamat.

Peter ketika ditemui selepas itu mengucapkan terimakasih kepada pemain dan pengurusan pasukan atas kemenangan yang begitu berharga.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada penyokong Sabah yang berada di Johor atas sokongan padu diberikan kepada pasukan Tambadau.

“Sekiranya pasukan Tambadau mampu mengekalkan momentum tidak mustahil kita akan berjaya merangkul kejuaraan Liga Premier.

“Seperti yang saya katakan, kita berharap pada perlawanan kedua terakhir kita di gelanggang sendiri menentang Kelantan kita akan dinobatkan awal sebagai juara Liga Premier. Inilah harapan saya sebagai presiden Safa yang baharu,” katanya.

Sabah kini mengumpul 37 mata daripada 17 perlawanan manakala JDT II kekal dengan 34 mata daripada 18 perlawanan.

Perlawanan Tambadau seterusnya menentang UiTM FC pada Selasa minggu depan di Stadium UiTM Shah Alam.-SabahNewsToday

Komen