Sabah pintu masuk rokok seludup?

Sabah pintu masuk rokok seludup?

Pegawai kastam merampas rokok seludup dari seorang lelaki warga Filipina berumur 36 tahun yang sedang memunggah bungkusan rokok seludup berkenaan. FOTO Abdul Rahemang Taimin.

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai hampir RM1 juta termasuk cukai dalam serbuan di Kampung Bubul Laut, Semporna, awal bulan ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Datuk Madrim Tasan, berkata rampasan itu dibuat susulan risikan pegawainya sebelum membuat serbuan di garaj sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan pada jam 2.30 petang, 1 Februari lalu.

Beliau berkata, ketika serbuan berkenaan, pasukan penguatkuasa turut menahan seorang lelaki warga Filipina berumur 36 tahun yang sedang memunggah bungkusan rokok terbabit.

“Rampasan membabitkan rokok jenis keretek dan rokok putih pelbagai jenama seperti Astro Merah, LA Premium, D&J dan Gudang Garam yang disyaki belum lulus Kastam dengan nilai keseluruhan sebanyak RM95,000 manakala jumlah cukai adalah RM786,000.

“Siasatan lanjut mendapati semua rokok itu tidak mempunyai dakwat keselamatan, tiada setem hasil selain tiada amaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti yang dikehendaki mengikut Butiran 1, Jadual Ketiga, Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan mengenai import) 2017,” katanya.

Beliau berkata, suspek ditahan manakala siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber rokok diperolehi selain mengesan dalang utama kegiatan penyeludupan rokok berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 yang boleh membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang iaitu RM956,620 atau RM100,000 yang mana lebih tinggi dan tidak lebih 20 kali ganda nilai barang iaitu RM1,913,240 atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sepanjang dua bulan pertama tahun ini JKDM Zon Sabah (termasuk Wilayah Persekutuan Labuan) merekodkan sebanyak 45 kes rokok dan 12 kes minuman keras membabitkan 32 tangkapan dan 23 rampasan.

Katanya, operasi berterusan membabitkan pelbagai agensi termasuk kerjasama dan perkongsian maklumat dengan negara jiran dilaksanakan bagi mengekang penyeludupan termasuk kes dadah di pintu masuk utama seperti lapangan terbang dan terminal feri.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada orang awam supaya tidak terbabit dengan penjualan atau pembelian rokok tiruan dan minuman keras belum lulus Kastam kerana ia menyalahi undang-undang.

“Kita juga mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan di negeri ini supaya menghubungi pejabat Kastam terdekat atau menghubungi talian bebas tol 1-800-88-8855,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 3:59 PM. Hmetro

Komen