SABAH LAKSANA LARANGAN MEROKOK DI TEMPAT MAKAN BERMULA 1 FEBRUARI

SABAH LAKSANA LARANGAN MEROKOK DI TEMPAT MAKAN BERMULA 1 FEBRUARI

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Stephen Wong Tien Fatt. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

KOTA KINABALU: Mesyuarat Kabinet Kerajaan Negeri hari ini memutuskan pelaksanaan larangan merokok di tempat makan awam dilaksanakan bermula 1 Februari depan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri, Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata penangguhan itu bagi memberikan masa kepada semua agensi terlibat dan pemilik premis untuk membuat persiapan bagi pelaksanaan peraturan itu.

Oleh itu, pihak kementeriannya, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri akan melaksanakan penguatkuasaan pendidikan sehingga 30 Jun 2019 untuk tujuan ini.

“Bermula 1 Julai 2019 peraturan ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya dan mana-mana orang yang melanggar peraturan itu apabila disabitkan boleh didenda tidak melebih RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun.

“Bagi pemilik premis yang melanggar peraturan pula apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Tun Fuad di sini hari ini.

Stephen berkata keputusan itu membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan persekitaran bebas asap rokok bukan sahaja kepada penduduk Sabah tetapi juga pengunjung dalam dan luar negara.

Tambah beliau lagi, peraturan itu juga termaktub bagi rokok tempatan seperti sigup dan kirai atau rokok elektronik selagi ia melibatkan tempat makanan awam.

Beliau menjelaskan larangan merokok juga dikuatkuasakan di pusat hiburan seluruh negeri kecuali yang mempunyai lesen tanpa premis makanan.

Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju untuk menangguh pelaksanaan peraturan itu sehingga dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri.

Dalam pada itu katanya kerajaan negeri juga telah melaksanakan Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang mana terdapat 23 tempat larangan merokok termasuk restoran berhawa dingin.

“Pada 2014, sebanyak empat restoran di Lahad Datu mendapat persijilan ini manakala pada 2015, sebanyak 18 premis di seluruh negeri iaitu enam restoran tidak berhawa dingin, empat hotel dan perusahaan kecil (bakery) serta masing-masing satu kilang, resort dan pusat konservasi diberikan persijilan Blue Ribbon.

“Pada 2016 sebanyak lima hotel mendapat persijilan; 2017 (empat premis) pada 2018 pula 24 premis,” ujarnya.

Stephen berkata program Blue Ribbon adalah usaha untuk mempromosikan premis yang tidak tertakluk di bawah peraturan ini termasuk restoran tidak berhawa dingin agar mengisytiharkan premis mereka sebagai kawasan bebas asap rokok secara sukarela. – SabahNewsToday

Komen