SABAH CATAT 310 KES KEMALANGAN MAUT TAHUN LEPAS

SABAH CATAT 310 KES KEMALANGAN MAUT TAHUN LEPAS

TAWAU; 28 MEI 2019 (Selasa) – Sabah mencatat sebanyak 310 kes kematian daripada 18-ribu 1 kes kemalangan tahun lalu dengan Kota Kinabalu mencatat kemalangan maut tertinggi iaitu 35 kes diikuti Tawau 34 kes, Lahad datu 27 kes, Kota Marudu 21 kes, Keningau 20 kes serta Ranau dan Penampang masing-masing 19 kes.

Sehubungan itu, Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Muis Picho berharap, statistik tersebut dapat dikurangkan ke tahap paling minimum tahun ini hasil advokasi dan penguatkuasaan pihak berkuasa khususnya di jalan-jalan utama yang dikenali sebagai kawasan panas.

Beliau melahirkan harapan itu selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2019 Peringkat Negeri Sabah di Tawau.

Katanya, berdasarkan statistik PDRM semasa musim perayaan Aidil Fitri tahun lalu, sebanyak 22 ribu 411 kes kemalangan direkodkan di seluruh negara dengan jumlah kematian 248 kes. Kebanyakan kes kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motorsikal, pejalan kaki dan penumpang kereta yang tidak memakai tali pinggang kaledar.

Sementara itu Pengarah Jabatan Keselamatan Jalanraya Sabah (JKJR) Janet David berkata, pihaknya akan terus menggiatkan kempen serupa itu dalam memastikan pengguna jalan raya peka dengan keselamatan mereka ketika berada di jalan raya serta memahami beberapa faktor yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Katanya, selain perubahan pembinaan jalan raya, peningkatan kenderaan juga turut menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya. Justeru dalam menggadakan kempen itu, JKJR menetapkan sasaran dengan memberi tumpuan khidmat nasihat kepada penunggang dan pembonceng motorsikal, motorkar dan kenderaan pacuan empat roda.

Pada pelancaran itu, pengguna yang melalui jalan raya di kilometer 9 Jalan Apas turut diberikan risalah keselamatan selain kit perubatan dan jeket keselamatan.

#BESTAWAUfm

Komen