SABAH BAKAL JADI TUMPUAN DUNIA PROGRAM ‘I LOVE UNITED’ 16 DIS INI

SABAH BAKAL JADI TUMPUAN DUNIA PROGRAM ‘I LOVE UNITED’ 16 DIS INI

Gambar SNT/Ehsan United Malaysia

KOTA KINABALU: Pada 16 Disember ini, Sabah bakal menjadi tumpuan penyokong kelab Manchester United seluruh dunia.

Sabah adalah antara lima tempat di seluruh dunia dipilih oleh Old Trafford bagi mengadakan program ‘I Love United’ yang turut membuka peluang membawa dua pemain lagenda daripada kelab gergasi dunia itu datang ke Sabah.

Batholomew Jingulam (tengah) bersama Stephan George (kiri) dan salah seorang penyokong tegar Manchester United, Willie Jude. Gambar SNT/Ehsan United Malaysia

Menurut Presiden Kelab Penyokong Manchester United Malaysia (United Malaysia) Batholomew Jingulam, program ‘I Love United’ akan berlangsung di Gypsy Bar, i-Plaza, Penampang.

“Ia adalah satu peluang kepada kita untuk membawa dua lagenda Manchester United datang ke Sabah sekiranya kita boleh mendapat seberapa banyak hashtag (#ILOVEUNITED_MY) yang boleh sepanjang program itu berlangsung.

“Sejak dari dulu lagi impian United Malaysia adalah untuk membawa lagenda pasukan itu ke sini dan kita harapkan ianya menjadi kenyataan selepas program itu,” katanya ketika ditemui semalam.

“Ini juga satu peluang bagi United Malaysia membuktikan yang kita juga mampu menganjurkan program besar seperti ini.

‘Pasukan media daripada Old Trafford juga akan turun ke sini untuk mengadakan lintas langsung antara lima negara yang mengadakannya,” katanya.

Tahun lalu, program tersebut diadakan di Kuala Lumpur.

Menyatakan ini adalah satu peluang kepada semua penyokong khususnya di Sabah untuk berkumpul, beliau berharap semua penyokong kelab itu akan datang beramai-ramai bagi memeriahkan program berkenaan.

Pada hari berkenaan, Manchester United akan bertemu dengan musuh tradisinya, Liverpool di Anfield.

“Saya yakin program ini akan mendapat sokongan daripada semua penyokong termasuklah pemimpin-pemimpin yang ada di Penampang seperti Ahli Parlimen Penampang yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, Jennifer dan Jannie Lasimbang, Kenny Chua walaupun dia penyokong Liverpool dan ramai lagi,” kata Batholomew.

Sementara itu pengerusi penganjur, Stephan George berkata selain menyaksikan siaran langsung perlawanan, pelbagai lagi acara lain turut diadakan termasuk cabutan tiket bertuah dengan hadiah utamanya ialah pakej bagi menyaksikan perlawanan di Old Trafford percuma.

“Selain itu, beberapa ‘food truck’ akan turut berada di kawasan Gypsy Bar selain persembahan hiburan oleh busker jemputan,” katanya.-SabahNewsToday

Komen