Sabah akan keluarkan minyak masak jenama sendiri

Sabah akan keluarkan minyak masak jenama sendiri

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyampaikan sumbangan kepada anak-anak Yatim Rumah Al-Sakinah Papar pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Penampang di Buhavan Square Donggongon hari ini. – Foto BERNAMA

PENAMPANG: Sabah bakal mengeluarkan minyak masak dengan jenama sendiri tahun ini sekali gus membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata lima kawasan sudah dikenal pasti untuk dibangunkan kilang minyak masak berkenaan antaranya di Tawau, Lahad Datu, Sandakan dan Keningau dengan setiap satu daripadanya akan membabitkan kos pembangunan kira-kira RM5 juta.

“Sabah akan mempunyai lima kilang minyak masak dengan jenama sendiri yang dijangka dimulakan pada tahun ini.

“Nama minyak masak itu akan diumumkan kemudian dan harga minyak masak itu juga adalah berpatutan. Ini antara usaha yang kita lakukan (membina kilang minyak masak) bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

“Kita juga akan memantau usaha ini dan jika permintaan meningkat, kita akan tambah lagi (jumlah kilang minyak masak),” katanya pada menghadiri Rumah Terbuka Raya Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Yusof Yacob.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, daerah Kota Marudu juga bakal mempunyai kilang perabot pada tahun ini.

“Pelabur dari China menyatakan minat untuk meneruskan perniagaan (di Kota Marudu) kerana mereka sudah ada kilang papan di situ. Mereka mahu meneruskan perniagaan dan saya galakkan untuk membuat kilang perabot.

“Kita akan bagi lesen untuk membuat kilang perabot dan mereka (pelabur) juga sudah ada pasaran di China,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri akan terus membangunkan Sabah termasuk membangunkan kilang yang bersesuaian agar anak-anak di negeri ini mempunyai peluang pekerjaan.

“Kita mampu mentadbir dan membangunkan Sabah, …Sabah perlu maju ke hadapan dan dalam hal ini kita (rakyat) perlu bersatu dalam membangunkan negeri ini.

“Dalam masa sama, kita perlu saling membantu tanpa mengira bangsa dan agama. Walau ada perbezaan daripada segi agama dan kaum, ia bukan penghalang untuk penyatuan,” katanya. –bharian

Komen