RUMAH DIKESAN JALANKAN AKTIVITI MENGEDAR DAN MENAGIH DADAH AKAN DIROBOHKAN

RUMAH DIKESAN JALANKAN AKTIVITI MENGEDAR DAN MENAGIH DADAH AKAN DIROBOHKAN

Alijus (tiga dari kanan) bersalaman dengan Pengurus Top Green Tech Sdn Bhd, Albert J Kok V.S sempena pelancaran Pemasangan ‘Lightbox’ Majlis Perbandaran Tawau Sempena Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2019 dan Tahun Melawat Tawau 2019. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Majlis Perbandaran Tawau (MPT) bekerjasama dengan pihak polis daerah ini untuk merobohkan rumah didiami individu yang sudah dikesan menjalankan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.

Presidennya, Alijus Sipil berkata Kampung Titingan adalah antara lokasi pertama yang akan dijalankan proses merobohkan struktur rumah, namun pihaknya belum memperoleh jumlah sebenar rumah yang akan dirobohkan.

“Pihak polis sudah mengenalpasti kawasan penempatan atau rumah yang terbabit dengan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah dan pihak MPT akan membantu merobohkan rumah tersebut.

“Dari segi jumlah rumah belum dapat kita kenalpasti secara tepat, namun kita akan mula merobohkan rumah di Kampung Titingan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Pemasangan ‘Lightbox’ Majlis Perbandaran Tawau Sempena Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2019 dan Tahun Melawat Tawau 2019 di sini hari ini.

Alijus (tiga dari kanan) merasmikan Pemasangan ‘Lightbox’ Majlis Perbandaran Tawau sempena Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2019 dan Tahun Melawat Tawau 2019, dengan kerjasama Syarikat Top Green Tech Sdn. Bhd. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Alijus berkata, pihaknya akan memberi notis kurang daripada tujuh hari untuk penghuni rumah mengosongkan kediaman mereka sebelum proses merobohkan rumah dijalankan.

“Dari segi pihak MPT, jika struktur rumah yang dibina tanpa kebenaran kebiasaannya diberi notis tujuh hari untuk mengosongkan rumah tapi kali ini ada sedikit perbezaan kerana ia adalah kerjasama dengan pihak polis dan kita akan beri notis untuk merobohkan rumah kurang daripada tujuh hari.

“Kita bimbang jika makin lama rumah itu tidak dirobohkan, operasi yang dijalankan pihak polis jadi tidak berkesan,”katanya.

Mengenai majlis itu beliau berkata syarikat Top Green Tech Sdn Bhd telah membuat kolaborasi bersama MPT dengan membuat pemasangan 30 ‘lightbox’ secara percuma sekitar daerah ini.

Setakat ini syarikat terbabit sudah memasang 15 ‘lightbox’ sempena Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) kali ke-8.

Acara kemuncak yang berlangsung pada 23 Mac ini akan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan dirasmikan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. – SabahNewsToday

Komen