RM480 JUTA DILULUSKAN UNTUK BINA EMPANGAN DAN PEMBESARAN SUNGAI DI TAWAU

RM480 JUTA DILULUSKAN UNTUK BINA EMPANGAN DAN PEMBESARAN SUNGAI DI TAWAU

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan dua projek di Tawau pada tahun depan iaitu pembinaan Empangan Tawau dan pembesaran sungai di daerah itu melibatkan peruntukan berjumlah RM480 juta.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier A. Jayakumar berkata projek berkenaan dibahagikan kepada dua fasa dan permohonan untuk tender akan dibuka semula untuk kontraktor mula menjalankan kerja-kerja pembinaan.

“Saya telah ke Tawau semalam untuk meninjau projek empangan dan pembesaran sungai di Tawau.

“Fasa pertama untuk projek empangan itu telah diluluskan dengan jumlah peruntukan RM50 juta. Pihak konsultan yang dilantik telah menyediakan pelan bagi projek tersebut,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis makan tengahari di sini hari ini.

Xavier berkata tujuan pembinaan empangan dan pembesaran sungai itu bertujuan mengurangkan masalah banjir yang melanda di sesetengah kawasan di Tawau.

Katanya kerajaan Persekutuan memandang serius keadaan dan masalah bencana alam yang berlaku khususnya banjir di negeri ini.

Katanya sempena lawatannya ke Sabah, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi membincangkan pembangunan yang perlu diberikan keutamaan di Sabah.

Sementara itu, selepas bertemu dengan Mohd Shafie di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, di sini petang tadi beliau berkata Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM7 juta bagi menampung kos kajian masalah dan langkah menangani banjir di Kota Belud.

Xavier berkata kajian dilakukan bagi membantu mengurangkan masalah banjir yang sering dihadapi di daerah itu.

“Kajian dilakukan di kaki sungai Kota Belud untuk mencari cara menangani isu banjir, menambah kedalaman sungai serta saliran air ke kawasan pertanian.

“Ia mengambil masa sembilan bulan hingga setahun sebelum dibentangkan kepada kerajaan negeri bagi langkah seterusnya,” katanya.

Jelasnya, kajian tersebut juga penting sebagai langkah mengurangkan risiko bencana alam berlaku di daerah itu.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata Kota Belud menjadi keutamaan kerana kesesuaian dan potensinya yang besar sebagai kawasan penanaman padi berskala besar.

“Tetapi masalah banjir dan perparitan sedia ada menjadi kekangan bagi merealisasikan harapan itu dan kerajaan sedang mencari kaedah menghadapinya,” jelasnya.

Ia merupakan perjumpaan yang kedua bagi membincangkan isu air dan pembentungan di negeri ini. – SabahNewsToday (30 oct 2018)

Komen