Rayuan Musa Aman ditolak

Rayuan Musa Aman ditolak

BEKAS Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman. FOTO Saddam Yusoff

MAHKAMAH Rayuan Kota Kinabalu menolak rayuan saman bekas ketua Tan Sri Musa Aman, dengan kos, yang mencabar pelantikan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ketua Menteri Sabah.

Mahkamah turut memerintahkan bekas Ketua Menteri itu membayar RM50,000 kepada Mohd Shafie yang juga responden kedua manakala sebanyak RM20,000 kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebagai responden pertama.

Panel tiga hakim yang bersidang dan membuat keputusan terdiri Hakim Datuk Kamardin Hashim, Datuk, Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohanad Zabidin Mohd Diah, yang mendengar prosiding berkenaan.

Kamardin ketika menyampaikan keputusan itu berkata, mahkamah menegaskan bantahan awal yang dibuat oleh peguam Mohd Shafie, Datuk Douglas Lind, adalah akademik dan setuju dengan hujahan pihak responden.

“Mahkamah mendapati bantahan awal yang dibuat oleh peguam Shafie adalah akademik dan dengan ini mahkamah menolak rayuan itu dengan kos,” katanya.

Musa diwakili pasukan peguam diketuai Tengku Fuad Tengku Ahmad dengan dibantu bekas peguam kanan Mahkamah Rayuan, Datuk Anantham Kasinather.

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Zaleha Rose Pandin mewakili Juhar.

Terdahulu Douglas dalam hujahnya berkata, keputusan daripada rayuan ini tidak akan memberi kesan kepada kedudukan sekarang untuk kedua-dua pihak.

“Ini berdasarkan jumlah sokongan terhadap perayu dan responden di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. Sekarang di DUN Sabah hanya ada lapan pembangkang manakala 52 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah penyokong kerajaan.

Sementara itu, Tengku Fuad berkata, pihaknya berasa kecewa dengan keputusan berkenaan dan mereka akan membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 7 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini menolak saman pemula yang difailkan Musa terhadap Juhar dan Mohd Shafie Apdal yang menuntut mahkamah mengisytiharkan beliau (Musa) sebagai Ketua Menteri yang sah. -hmetro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 November 2019 @ 2:04 PM

Komen