Pusat perlindungan tenggiling akan diwujudkan di Tawau

Pusat perlindungan tenggiling akan diwujudkan di Tawau

TIMBALAN Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sabah dan SAPSARI Arizona, di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Khairull Azry Bidin

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan mewujudkan pusat perlindungan bagi menempatkan spesis hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di Taman Negara Bukit Tawau, hujung tahun ini.

Pusat perlindungan untuk hidupan liar seperti tenggiling akan dibina menggunakan dana RM1juta disumbangkan Institut Kajian dan Santuari Tenggiling (SAPSARI) Arizona, Amerika Syarikat.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew, berkata beliau sudah meminta Pengarah Taman-Taman Sabah dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk mengenal pasti lokasi yang sesuai.

Katanya, taman yang berkeluasan 20,000 hektar itu amat sesuai untuk dijadikan penempatan hidupan liar berkenaan.

“Pusat perlindungan akan dibuka kepada orang awam apabila semua proses penyediaannya selesai, mungkin siap menjelang hujung tahun ini. Selain itu, kita juga akan turut menubuhkan Pusat Kajian Tenggiling di situ.

“Pusat ini penting untuk mendidik orang awam mengenai tenggiling bahawa ia dilindungi sepenuhnya. Haiwan ini tidak boleh diburu dan dibunuh atas apa pun alasan termasuklah untuk tujuan perubatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sabah dan SAPSARI Arizona, di sini, hari ini.

Christina berkata, pengwujudan pusat perlindungan itu diharap dapat mempercepatkan usaha mendidik masyarakat tempatan dan pengunjung luar negara dalam usaha melindungi spesis tenggiling yang diwartakan sebagai hidupan dilindungi sepenuhnya.

Katanya, penubuhan pusat perlindungan itu sudah dibentangkan dan dipersetujui oleh Kabinet Sabah dan pihaknya akan membantu dari segi teknikal seperti menyediakan doktor pakar serta pasukan penyelamat.

“Ini adalah antara satu usaha kerajaan untuk terus memerangi sebarang aktiviti perdagangan, pemburuan dan pembunuhan tenggiling.

“Kematian badak sumbu Sumatera jantan terakhir baru-baru ini menyebabkan kementerian mengambil langkah awal dengan mewujudkan pelan tindakan yang akan dilancarkan dalam masa terdekat bagi melindungi spesis hidupan liar dilindungi di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Pengasas SAPSARI Arizona, Peter Chan, berkata sebagai permulaan mereka akan menyumbangkan RM1 juta bagi mewujudkan pusat perlindungan tenggiling.

Katanya, program membabitkan kerjasama sektor awam dan swasta ini dijangka membabitkan kos mencecah RM4.5 juta.

“Usaha mewujudkan pusat perlindungan ini akan meletakkan Sabah berada di hadapan dalam mendidik masyarakat dunia mengenai konservasi tenggiling yang menjadi hidupan liar paling banyak diburu dan dibunuh,” katanya. -bharian

Komen