PTI INDONESIA DIPENJARA 8 BULAN, DENDA RM30 RIBU MILIKI EMPAT EKOR TOKEK

PTI INDONESIA DIPENJARA 8 BULAN, DENDA RM30 RIBU MILIKI EMPAT EKOR TOKEK

TAWAU: Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM30,000 terhadap seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PTI) warga Indonesia selepas mengaku bersalah memiliki empat ekor cicak tokek (Gekko Gecko) di sebuah hotel, di sini 22 Februari lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Arip Samsudin, 42.

Tertuduh Arip Samsuddin dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM30,000 selepas mengaku bersalah memiliki empat ekor cicak tokek (Gekko Gecko). Gambar SNT / Nasrawati Syarifuddin

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara sembilan bulan lagi, jika gagal membayar denda dan dijalankan secara berasingan bermula hari ini.

Hakim memerintahkan tertuduh yang memasuki negara ini tanpa dokumen pengenalan diri yang sah diusir ke negaranya selepas menjalani hukuman.

Terdahulu, tertuduh membuat rayuan di hadapan hakim untuk meringankan hukuman memandangkan isterinya baru sahaja melahirkan anak yang keenam ketika tertuduh masih dalam tahanan penjara.

Tertuduh juga memberitahu mahkamah bahawa cicak tokek itu dibawa dari negara Indonesia dan cuba dibawa masuk ke daerah ini kerana mendapat permintaan tinggi dengan nilai RM200 seekor.

Empat ekor cicak tokek dilepaskan di sebuah hutan simpan. Gambar SNT/Ihsan JHL

Bagaimanapun, hakim menjatuhkan hukuman itu terhadapnya bagi memberi kesedaran kepada tertuduh dan ia juga adalah untuk kepentingan awam.

“Tertuduh telah mengaku bersalah dan mahkamah menerima pengakuan kesalahan. Mahkamah telah mengambil kira pertuduhan fakta kes, rayuan dan paling penting sekali kepentingan awam.

“Tertuduh juga tahu bagaimana beroperasi di daerah ini dan tahu bahawa haiwan terbabit mendapat permintaan tinggi.

“Hasil siasatan mendapati tertuduh adalah warganegara Indonesia yang datang ke negara ini tanpa dokumen yang sah. Tertuduh akan diusir ke negaranya selepas menjalani hukuman,”katanya ketika perbicaraan kes berlangsung, tadi.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki empat ekor cicak tokek (Gekko Gecko), di Grace Inn Hotel, Bandar Fajar Tawau, pada pukul 11 pagi, 22 Februari lalu.

Ia adalah haiwan daripada spesis yang dilindungi yang disenaraikan dalam Bahagian 1 Jadual 2, Nombor 73A Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 tanpa permit sah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dibawah Seksyen 41(2) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 41(4)(b) Enakmen yang sama.

Peruntukan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Hidupan Liar, Abdul Karim Dakog manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Beliau berkata, kes berkaitan haiwan tokek ini adalah kes pendakwaan pertama dijalankan di Sabah.

Semua tokek dianggarkan berukuran 15 hingga 16 sentimeter terbabit sudah dilepaskan pada 7 April lalu di hutan simpan selepas mendapat perintah mahkamah. –SabahNewsToday

Komen