PSS perlu bagi mudahkan pemantauan warga asing

PSS perlu bagi mudahkan pemantauan warga asing

KOTA KINABALU: Pas Sementara Sabah (PSS) untuk pendatang asing yang sudah lama menetap di Sabah berkuat kuasa 1 Jun tahun depan adalah langkah kerajaan untuk memudahkan pemantauan terhadap kumpulan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pengeluaran kad itu bagi menggantikan IMM13, Kad Burong-Burong dan Sijil Banci penting bagi membolehkan kerajaan mengetahui kedudukan mereka.

“Dokumen sedia ada yang diberikan kepada golongan berkenaan boleh disalin cetak, jadi kita perlu cari apa mekanisme untuk memastikan dokumentasi golongan ini lebih teratur dan yang penting kita dapat memantau mereka.

“Jadi, PSS adalah penyelesaiannya, untuk membolehkan golongan berkenaan dapat terus bekerja di sini, di ladang-ladang dan pada masa yang sama kita pantau mereka. Tujuannya ialah untuk memastikan kira-kira 500,000 golongan ini dapat dipantau.

“Ini lebih baik berbanding sebelum ini, kita tidak tahu di mana kedudukan mereka,” katanya selepas Majlis Pengumuman Dividen Saham Amanah Sabah (SAS) 2019, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Saham Sabah Berhad, Datuk Dr Marcus Mojigoh dan timbalannya, Datuk Naim Ahmad.

Mohd Shafie berkata demikian bagi mengulas pelbagai maklum balas berhubung pengeluaran kad berkenaan termasuk ada yang mempertikaikan kewajarannya selepas diumumkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, semua aspek berhubung isu warga asing di Sabah akan diambil kira sebelum PSS dikeluarkan kepada golongan berkenaan termasuk kedudukan anak yang lahir hasil perkahwinan golongan berkenaan di negeri ini.

Katanya, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kebajikan akan mengurus isu berkaitan anak golongan berkenaan yang kebanyakan daripada mereka ketika ini berstatus tiada negara.

“Kita juga perlu mengurus warga asing secara teratur bagi memastikan kita tidak berdepan masalah kekurangan buruh atau pekerja khususnya dengan pemindahan ibu kota Indonesia di Kalimantan Timur yang kita jangka akan menarik ramai warga mereka ke sana,” katanya.

Beliau berkata, isu warga asing yang dihantar pulang ke negara asal kerana didapati tiada dokumen perjalanan juga akan diperhalusi dengan lebih teliti bagi memastikan golongan itu tidak datang semula ke negeri ini dengan kesalahan yang sama.

Terdahulu, Mohd Shafie mengumumkan agihan pendapatan interim pertama SAS bagi tahun ini iaitu pada kadar 2.4 peratus kepada 50,264 pelaburnya yang membabitkan pembayaran wang tunai berjumlah RM29.55 juta.

Katanya, agihan itu dibuat selepas SAS mencatat pendapatan kasar sebanyak RM36.017 juta setakat 6 September 2019. -Bharian

Komen