PROJEK PEMBANGUNAN TAPAK PELUPUSAN SISA PEPEJAL BUKIT GEMUK TAWAU BEROPERASI DISEMBER TAHUN INI

PROJEK PEMBANGUNAN TAPAK PELUPUSAN SISA PEPEJAL BUKIT GEMUK TAWAU BEROPERASI DISEMBER TAHUN INI

TAWAU; 8 SEPTEMBER 2019 (Ahad) – Projek pembangunan tapak pelupusan sisa pepejal yang pertama di Pantai Timur negeri Sabah di Bukit Gemuk Tawau dijangka bakal beroperasi Disember tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan kerajaan tempatan Datuk Seri Mohamad Mentek berkata, dengan siapnya projek itu ia bakal membantu dari segi pengurusan dan juga rawatan untuk sisa pepejal di daerah Tawau yang berkapasiti lebih 150-tan sehari.

Beliau berkata demikian sempena lawatan ke beberapa projek pembangunan di beberapa daerah termasuk Lahad Datu, Kunak, Tawau dan berakhir di Semporna.

Dalam lawatan itu, beliau turut melawat tapak Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Merotai yang akan mula dibina Oktober ini. Balai JBPM kelas D yang menelan kos kira-kira 8-juta ringgit itu turut dilengkapi dengan kuaters kakitangan.

Sementara itu beliau memberitahu sebanyak 470 unit rumah Projek Perumahan Rakyat Merotai yang siap sepenuhnya Disember tahun lalu telah diserahkan kepada pihak MPT. Beliau berharap pengisian akan disegerakan bagi memberi kemudahan perumahan kepada golongan B40 sekaligus mengurangkan kawasan setinggan di daerah ini.

Mengenai lawatan itu, beliau melahirkan rasa puas hati dengan prestasi projek pembangunan di empat daerah berkenaan. Kejayaan itu adalah hasil intervensi yang dilakukan melalui cawangan pembangunan di setiap daerah dan jawatankuasa pemantauan dan tindakan persekutuan.

Tegasnya, bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dan kemudahan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan jayanya, mana-mana projek ataupun kontraktor yang gagal dan lewat melaksanakan projek mengikut jadual lebih 20 peratus, pihak terbabit akan ditamatkan kontrak.

Turut mengiringi lawatan itu, Ketua Pengarah JBPM Datuk Mohd Hamdan Wahid, Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Jaya Selan Navaratnam dan Ketua Pengarah Jabatan Sisa Pepejal Negara Tn Hj Sulaiman Abd Rahman.

#BESTAWAUfm

Komen