PROGRAM MEGA GOTONG ROYONG MAMPU JADIKAN TAWAU ‘IKON’ KEBERSIHAN PBT

PROGRAM MEGA GOTONG ROYONG MAMPU JADIKAN TAWAU ‘IKON’ KEBERSIHAN PBT

TAWAU: Usaha gigih Majlis Perbandaran Tawau (MPT) menganjurkan gotong-royong mega melambangkan komitmenya selaku pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kebersihan persekitaran sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan secara berterusan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew berkata bergotong royong ini merupakan satu bentuk komitmen untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan yang sukar secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

Christina sedang menyapu sampah dalam gotong royong itu. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelancongan

“Tahniah saya ucapkan kepada Majlis Perbandaran Tawau atas usaha gigih untuk menganjur program seumpama ini bersama badan-badan kerajaan negeri, Persekutuan, badan-badan berkanun dan swasta, persatuan- persatuan, kelab-kelab dan badan-badan NGO, syarikat yang mengusahakan kitar semula bahan-bahan terbuang serta seluruh warga Tawau.

“Kehadiran semua dalam program gotong royong pagi ini melambangkan komitmen kita untuk memastikan kebersihan persekitaran kita sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan secara berterusan,” katanya ketika berucap pada program Gotong Royong Mega di Dataran MPT, di sini kelmarin.

Christina memerhatikan pemungutan sampah. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelancongan

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata amalan kerja secara bergotong royong ini merupakan satu bentuk komitmen untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan yang sukar secara sukarela tanpa mengharapkan sebarang ganjaran.

Menurut Ahli Parlimen Tawau itu semangat kesukarelawan amat penting dalam membantu kerajaan membangunkan negeri dan negara ke arah yang lebih baik dan sejahtera.

Christina Liew bersama dengan para peserta gotong royong di Dataran Traulsen, Tawau. Gambar SNT/Ihsan Kementerian Pelancongan

Katanya jumlah kes terkumpul bagi wabak denggi di Sabah pada 30 Disember 2018 sehingga 17 November 2019 adalah sebanyak 4,752 kes dan di Tawau jumlah kes sehingga minggu ke 46 adalah sebanyak 62 dan telah menyebabkan lima kematian.

Walaupun, katanya jumlah itu masih belum dapat menandingi jumlah mereka yang tewas akibat kemalangan jalan raya, tetapi secara realitinya angka tersebut telah menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun.

“Pemilihan slogan ‘Sayangi Tawau Kita’ amat bertepatan untuk peringatan kepada semua, betapa pentingnya kita sama-sama bertanggungjawab untuk meletakkan keprihatinan, komitmen dan usaha bersepadu dalam menjadikan Perbandaran Tawau sebagai sebuah daerah yang bersih, indah, cantik dan menarik untuk keselesaan dan kebanggaan bersama.

“Kita bangga dengan usaha gigih MPT untuk meningkatkan tahap kebersihan bandar Tawau memandangkan aspek kebersihan merupakan salah satu keperluan utama dalam sektor pelancongan.

“Dengan itu, saya menyeru kepada semua warga Tawau untuk sama-sama menjadikan slogan ‘Sayangi Tawau Kita’ sebagai sesuatu yang realiti,” ujarnya.

Tambah Christina, amalan konsep 3R iaitu reduce (mengurangkan), reuse (menggunakan semula) dan recycle (kitar semula) amat penting dalam mengurangkan penjanaan sampah khususnya bahan-bahan yang tidak mudah reput secara semulajadi (non-biodegradeable).

Dengan itu katanya adalah penting untuk masyarakat mengamalkan kitar dan guna semula bahan- bahan yang boleh dikitar atau diguna semula seperti kertas, kaca, plastik, besi, aluminium manakala sisa buangan yang mudah reput secara semulajadi boleh dijadikan kompos untuk memperkayakan lagi kesuburan tanah khususnya tanah pertanian.

Katanya lagi kerajaan yakin sokongan padu dan kerjasama semua pihak terhadap program Gotong Royong Mega bukan sahaja mampu mewujudkan golongan masyarakat yang lebih bertanggungjawab ke atas peningkatan dan penjagaan kebersihan seluruh daerah Tawau ini tetapi dapat menjadikan Tawau sebagai contoh teladan atau ‘ikon’ dalam aspek kebersihan alam sekitar kepada pihak berkuasa tempatan yang lain. – SabahNewsToday

Komen