PRK Parlimen Kimanis: PBS putuskan tidak bertanding

PRK Parlimen Kimanis: PBS putuskan tidak bertanding

PENAMPANG: Parti Bersatu Sabah (PBS) memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, 18 Januari ini.

Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, ketika mengumumkan perkara itu, hari ini, berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira banyak pertimbangan dan kajian terperinci mengenai sentimen pada peringkat akar umbi serta pengundi secara keseluruhan di kawasan berkenaan.

“Walaupun PBS adalah parti berbilang kaum dan ada ramai pengikut di Parlimen Kimanis, kami memutuskan untuk tidak bertanding pada PRK ini.

“Keputusan ini juga bagi menyokong pandangan dalam kalangan parti pembangkang bahawa kita perlu mengelakkan perpecahan undi sesama penyokong kami.

“Jika tidak, ia akan memberikan kelebihan kepada gabungan kerajaan yang memerintah,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik parti di Ibu Pejabat PBS, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Radin Maleh dan Datuk Yee Moh Chai, serta Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai.

Mengulas lanjut, Maximus berkata, PBS akan menyokong calon bertanding yang memiliki pandangan sama dengan parti pembangkang tempatan dalam beberapa isu berkaitan hak negeri ini.

“Kepemimpinan parti menetapkan syarat kepada calon yang mewakili pihak pembangkang untuk mendapat sokongan ahli dan penyokong PBS di Kimanis pada PRK itu.

“PBS akan menyokong, malah lebih 3,000 penyokong parti di Kimanis juga akan memihak kepada calon jika memenuhi tiga kriteria, iaitu calon itu mestilah seorang pejuang yang lantang dalam mempertahankan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kedua, calon perlu berani melindungi Sabah daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penceroboh di wilayah ini.

“Selain itu, calon mesti menentang dasar dan program yang menjejaskan keamanan Sabah serta mengancam hak kewarganegaraan orang asal di negeri ini,” katanya.

Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, PBS berharap calon terbabit akan turut menolak cadangan kerajaan untuk melaksanakan Pas Sementara Sabah (PSS).

“Bagi PBS, PSS adalah ancaman utama kepada hak warganegara kita dan dilihat menjadi satu bentuk rasmi untuk PATI tinggal secara kekal di negeri ini,” katanya.

Semalam, Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengumumkan Ketua Bahagian WARISAN Kimanis, Datuk Karim Bujang, sebagai calon parti itu pada PRK Parlimen Kimanis.

Pada Rabu lalu, Barisan Nasional (BN) pula mengumumkan Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, sebagai calon parti berkenaan.

Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah tidak sah serta batal.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan bekas Menteri Luar itu pada bulan lalu.

Susulan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kimanis akan diadakan pada 18 Januari ini dengan tarikh penamaan calon, esok, dan pengundian awal 14 Januari. -Bharian

Komen