PPM TAWAU TAHAN LELAKI, RAMPAS 40 TONG GAS LPG DISYAKI UNTUK DISELUDUP KE INDONESIA

PPM TAWAU TAHAN LELAKI, RAMPAS 40 TONG GAS LPG DISYAKI UNTUK DISELUDUP KE INDONESIA

TAWAU; 8 NOVEMBER 2019 (Jumaat) – Taktik seorang lelaki tempatan menyembunyikan 40 tong gas cecair petroleum (LPG) bernilai 7-ribu 250-ringgit di ruang belakang sebuah lori gagal, selepas ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan parkir Pasar Ikan Tawau, pagi tadi.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali dalam kenyataan medianya berkata, lelaki berumur 34 tahun yang dipercayai melakukan aktiviti penyeludupan selama dua bulan berkenaan ditahan dalam ‘Op Gelora Khas’ kira-kira pukul 6 pagi.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan gagal menunjukkan permit atau surat kelulusan daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa barangan kawalan terbabit sementara hanya 25 tong gas berkenaan berisi.

Katanya, siasatan awal mendapati tong gas berkenaan disyaki untuk diseludup ke Indonesia dengan cara dibawa beberapa unit tong gas melalui Sungai Melayu bagi mengaburi pihak berkuasa.

Menurut Mohamad Pajeri, PPM turut merampas kenderaan yang digunakan suspek dengan anggaran nilai keseluruhan 37-ribu 250-ringgit untuk siasatan dibawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 22(1) Akta yang sama.

Komen