PPM Tahan Lima PATI Cuba Keluar Ke Filipina Dari Semporna

PPM Tahan Lima PATI Cuba Keluar Ke Filipina Dari Semporna

Foto Ihsan Pasukan Polis Marin

SEMPORNA : Cubaan lelaki tempatan menyusup keluar ke Sibutu, Filipina menggunakan perahu dengan membawa lima penumpang tidak berdokumen, gagal apabila dipintas Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Semporna, hari ini.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, pergerakan juragan tempatan berusia 33 tahun bersama lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina itu dikesan Unit Risikan Marin di kawasan laut Kampung Egang-Egang, Semporna pada 8.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan, lima penumpang terdiri daripada tiga lelaki dan dua perempuan berumur antara 15 hingga 33 tahun itu didapati gagal mengemukakan sebarang pengenalan diri sah.

“Turut ditemui bersama mereka adalah barangan peribadi termasuk 10 guni pakaian dan barang keperluan dapur serta empat tong minyak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, siasatan awal juga mendapati kesemua mereka mengaku dalam perjalanan dari Semporna ke Sibutu, Filipina.

Katanya lagi, tangkapan serta barang rampasan termasuk bot dan enjin Yamaha Enduro 40hp dianggarkan bernilai lebih RM15,000 itu kemudian dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – BERNAMA

Foto Ihsan Pasukan Polis Marin

Foto Ihsan Pasukan Polis Marin

Foto Ihsan Pasukan Polis Marin

Komen