PPM SEMPORNA RAMPAS 2600 LITER MINYAK PETROL DISYAKI CUBAAN SELUDUP KE FILIPINA

PPM SEMPORNA RAMPAS 2600 LITER MINYAK PETROL DISYAKI CUBAAN SELUDUP KE FILIPINA

SEMPORNA; 19 MEI 2019 (Ahad) – Bertindak atas maklumat Unit Risikan Marin (URM), Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna merampas 2-ribu 600-liter minyak petrol yang disyaki cuba diseludup keluar ke Filipina dalam dua serbuan berasingan di Pulau Bum-Bum, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Pajeri Ali menerusi kenyataan medianya berkata, dalam kejadian diantara pukul 6.45 petang hingga 10.45 malam itu, tangkapan pertama dilakukan sepasukan anggota PPM dari botronda RH40 selepas mendapati Dua bot Pam bergerak dalam keadaan mencurigakan di laut Kampung Gusung Melanta.

Pemeriksaan keatas kedua-dua bot pam mendapati 4 lelaki palauh berumur 19 hingga 29 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah membawa muatan 70 jerikin berisi 2-ribu 100-liter minyak petrol.

Juragan kedua-dua bot gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membawa muatan terbabit.

Sementara itu, serbuan berasingan yang dilakukan sepasukan anggota Botronda PAR 3 keatas sebuah rumah di Kampung Labuan Haji Pulau berkenaan turut menemui 20 jerikin berisi 500 liter minyak petrol.

Tiada sebarang tangkapan dibuat dalam serbuan di rumah terbabit.

Menurut ACP Mohd Pajeri, selain minyak petrol, PPM turut merampas kedua-dua bot beserta enjin dengan anggaran rampasan keseluruhan bernilai lebih 15-ribu ringgit.

Tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 20 Akta Kawalan Bekalan 1961, dibaca bersama Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan.

#BESTAWAUfm

Komen