PPM SELAMATKAN EMPAT NELAYAN DARI SEBATIK INDONESIA HANYUT DIPUKUL OMBAK KE PERAIRAN TAWAU

PPM SELAMATKAN EMPAT NELAYAN DARI SEBATIK INDONESIA HANYUT DIPUKUL OMBAK KE PERAIRAN TAWAU

TAWAU: Empat nelayan warganegara Indonesia berjaya diselamatkan selepas dua bot dinaiki hanyut di kawasan perairan laut Tanjung Saima, dekat sini pada pagi Selasa.

Bot dinaiki mangsa Ariffin Manja, Amboktuo Cidong, Saleh Atass dan Ambar Arba berusia 70 hingga 35 tahun dipercayai dipukul ombak kuat ketika menjalankan aktiviti menangkap hasil laut di perairan Indonesia.

Salah satu bot mangsa yang dipukul ombak kuat sehingga hanyut ke perairan Tanjung Saima Tawau. Gambar SNT / Ihsan PPM Tawau

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata operasi mencari dan menyelamat mangsa kemudian dijalankan kira-kira pukul 10 pagi yang diketuai Pegawai Pemerintah PPM Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail.

“Kita menerima maklumat awal daripada orang awam sebelum bergegas ke tempat berkenaan. Hasil tindakan pantas, kita berjaya mengesan dua bot nelayan terbabit.

Bot nelayan Indonesia dari Pulau Sebatik hanyut dipukul ombak sehingga ke perairan Tanjung Saima Tawau. Gambar SNT/Ihsan PPM Tawau

“Hasil pemeriksaan empat mangsa terbabit dalam keadaan selamat dan siasatan mendapati kesemua mereka berasal dari Kampung Sungai Nyamuk Sebatik, Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot dinaiki mereka hanyut hingga ke perairan Malaysia selepas dipukul ombak kuat ketika menjalankan aktiviti perikanan di perairan Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Pajeri berkata kesemua mangsa dan bot dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk siasatan dan tindakan lanjut.

“Pihak PPM Tawau akan mengadakan program penyerahan mangsa dan bot kepada pihak berkuasa Indonesia di Erairan Sempadan Malaysia-Indonesia pada esok.

“Program penyerahan itu akan dijalankan oleh Pegawai Pemerintah PPM Tawau,” jelasnya.-SabahNewsToday

Komen