PPM PERIKSA 92 BOT PELANCONG DAN PENAMBANG, 24 BOT DI KOMPAUN

PPM PERIKSA 92 BOT PELANCONG DAN PENAMBANG, 24 BOT DI KOMPAUN

SEMPORNA; 6 JULAI 2019 (Sabtu) – Sebanyak 92 buah bot pelancong dan penambang diperiksa Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna di sekitar perairan Semporna meliputi laut pelabuhan dan Terusan Menampilik, kelmarin.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata, hasil pemeriksaan itu, sebanyak 24 buah bot pelancong dan penambang telah dikenakan kompaun.

Katanya, kompaun dikeluarkan atas kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, antaranya membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan di dalam lesen operasi dan kelengkapan peralatan serta alat-alat keselamatan tidak lengkap termasuklah tiada jaket keselamatan.

Jelasnya, semua kesalahan dirujuk kepada Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah (JPDS) untuk tindakan lanjut.

Menurut ACP Mohamad Pajeri, oeprasi bermula 8 pagi hingga 12.30 tengah hari itu bagi menguatkuasakan akta serta peraturan ke atas aktiviti air terutama bot-bot yang membawa penumpang seperti Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO), Akta Polis 1967 dan Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, operasi sama akan sentiasa dilaksanakan dalam memastikan peraturan sentiasa dipatuhi demi memastikan penumpang bot sentiasa dalam keadaan selamat dan mematuhi peraturan semasa berada di dalam bot.

#BESTAWAUfm

Komen