POLIS TAWAU TAHAN EMPAT WANITA DISYAKI TERLIBAT AKTIVITI 4-D HARAM

POLIS TAWAU TAHAN EMPAT WANITA DISYAKI TERLIBAT AKTIVITI 4-D HARAM

Barang rampasan iaitu wang tunai, telefon bimbit dan beberapa keping tiket judi nombor ekor diperolehi daripada empat wanita dalam serbuan oleh BSJ D7 IPD Tawau. – Gambar SNT / Ehsan IPD Tawau

TAWAU: Empat wanita disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian nombor ekor haram ditahan dalam serbuan berasingan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) D7 Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di sini semalam.

Kesemua suspek yang ditahan dalam serbuan tersebut berumur dalam lingkungan 19 hingga 42 tahun dan dua daripada mereka adalah rakyat asing.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata serbuan dilakukan antara pukul 3.30 dan 4.10 petang bermula di Jalan Chester Jalan Cole Adam dan berakhir di sebuah premis tidak bernama di kawasan tersebut.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat, pada pukul 3.30 petang sepasukan anggota BSJ D7 Tawau telah membuat serbuan dan tangkapan pertama di Hiap Hing Jalan Chester melibatkan wanita berusia 42 tahun.

“Hasil daripada tangkapan itu, polis terus melakukan serbuan kedua di sebuah restoran di Jalan Dunlop kira-kira 15 minit selepas itu dan menahan seorang remaja 19 tahun.

“Penahanan remaja itu membawa polis kepada dua lagi suspek warga asing yang ditahan di sebuah premis tidak bernama di Jalan Chester Jalan Cole Adam pada pukul 4 dan 4.10 petang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil berkata dalam serbuan itu polis turut merampas beberapa barangan termasuk beberapa tiket pembelian judi ekor haram, telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM2,062.

Katanya kesemua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) mulai hari ini hingga 22 November ini. – SabahNewsToday

Komen