Polis tahan suspek tidak sampai 24 jam bunuh isteri

Polis tahan suspek tidak sampai 24 jam bunuh isteri

KINABATANGAN: Tidak sampai 24 jam, polis di sini berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai membunuh isterinya di rumah mereka di Perumahan Pekerja Ladang Pintasan 5B dekat sini, Sabtu malam.

Ketua Polis Daerah, Superintendan A.Sahak Rahmat berkata suspek berumur 30-an, seorang penganggur ditahan oleh pihak polis tidak jauh dari tempat kejadian.

Beliau berkata lebih kurang 8.45 malam, pihak polis telah menerima satu panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan bahawa satu kejadian pembunuhan membabitkan seorang wanita yang di tetak oleh seorang lelaki dipercayai suami kepada mangsa di ladang tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati simati berumur 27 tahun, baru sahaja bekerja di ladang itu, lebih kurang sebulan lalu sebagai pemungut biji sawit,” katanya.

Beliau berkata pasangan suami isteri ini tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan suami simati (suspek) tidak bekerja.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati mayat simati berada di ruang tamu rumah mereka dalam keadaan terlentang dan lengkap berpakaian.

“Pemeriksaan pada badan simati mendapati terdapat kecederaan kesan tetakan di muka sebelah kiri, di bahagian atas kepala dan di bahagian belakang kepala,” katanya.

Sahak berkata pergelangan tangan kanan simati ditetak separuh putus manakala tiga jari kanan simati telah putus.

“Pemeriksaan di dapur rumah simati telah menemui cebisan jari-jari mangsa yang telah putus. Senjata yang digunakan dipercayai adalah parang milik suami simati,” katanya.

Pada masa kejadian, beliau berkata jiran-jiran rumah simati berada di rumah namun tidak ada yang mendengar sebarang pergaduhan ataupun bunyi bising dari rumah simati.

“Jiran-jiran simati hanya melihat suami simati telah berada di luar rumah sambil memegang sebilah parang di tangannya pada jam lebih kurang 8.00 malam.

“Lelaki tersebut kemudian telah melarikan diri ke arah sungai dan dikejar oleh beberapa anggota pengawal keselamatan ladang namun tidak berjaya ditangkap,” katanya.

Sahak berkata motif kejadian setakat ini dipercayai berpunca akibat perselisihan faham di antara simati dan suspek semasa kedua mereka berada di dapur.

Beliau berkata pemeriksaan juga mendapati periuk yang mengandungi sup ayam dan satu pinggan berisi nasi ditemui telah bertaburan di lantai dapur dipercayai telah dilempar.

“Mayat mangsa di hantar ke Hospital Kinabatangan untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Suspek ditahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

oleh

  • oleh
  • Komen

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *