POLIS TAHAN PELAJAR SEKOLAH TINGKATAN 5 TERLIBAT PENAGIHAN DAN PENGEDARAN DADAH DI LAHAD DATU

POLIS TAHAN PELAJAR SEKOLAH TINGKATAN 5 TERLIBAT PENAGIHAN DAN PENGEDARAN DADAH DI LAHAD DATU

LAHAD DATU; 1 OKTOBER 2019 (Selasa) – Polis berjaya menahan seorang pelajar lelaki tingkatan 5 dan merampas dadah jenis syabu seberat 5.25 gram di kawasan Taman Panji, Jalan Panji, Lahad Datu, Kelmarin.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Nasri Mansor berkata, dalam Ops Tapis yang dilaksanakan, pihaknya mendapati suspek dalam keadaan mencurigakan dan menangkap suspek kira-kira 3.30 petang. Semasa ditahan, suspek memiliki satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki Dadah jenis Syabu dan 9 gulung kertas timah.

Siasatan awal, suspek didapati mula terlibat dengan pengedaran dadah awal bulan September lepas secara kecil-kecilan di kawasan atas bukit di Kampung Makuao, Lahad Datu selepas dipercayai terpengaruh dengan rakan selain mencari wang mudah untuk meringankan beban kehidupan harian keluarga.

Katanya, Suspek dipercayai mendapat bekalan dadah syabu dari seorang lelaki dengan nama panggilan ‘Abang’ di kawasan Kampung Puyut, Jalan Pantai, yang sedang dalam pemerhatian Polis dan sedang giat diburu.

Mengulas lanjut, ACP Nasri berkata, suspek merupakan pelajar sekolah yang masih bersekolah di sebuah Sekolah Menengah di Lahad Datu dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini dan kini tinggal bersama keluarga di Kampung Anjung Teduh, Sahabat 2, Blok 10, Lahad Datu.

Katanya, suspek didapati tidak memiliki rekod jenayah lampau dan hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Meth.

Rampasan Syabu tersebut dianggarkan bernilai 787-ringgit dan 50-sen. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. -BESTAWAUfm

#myTawau

Komen