Polis sokong tanam ketum demi kebaikan negara

Polis sokong tanam ketum demi kebaikan negara

GOMBAK: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong penanaman ketum bagi tujuan penyelidikan, pendidikan dan perubatan.

Bagaimanapun pihak berkaitan perlu mengambil kira aspek pengurusan risiko secara menyeluruh bagi mengelakkan ia disalahguna.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata pihak berkuasa terbabit perlu memastikan penanaman itu tidak memberi kesan negatif untuk jangka masa panjang.

“Secara dasarnya, kita tiada halangan jika ia (penanaman ketum dibenarkan) untuk tujuan kesihatan dan mendatangkan kebaikan untuk negara.

“Cuma kita minta mereka (pihak berkaitan) ambil kira pengurusan risiko. Dalam hal ini, kita tidak bercakap mengenai kawalan keselamatan termasuk pembinaan tembok dan dinding semata-mata.

“Kita cadangkan pengurusan risiko secara menyeluruh untuk 10, 20 tahun akan datang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Mohd Khalil (kiri) pada sidang media di IPD Gombak, hari ini. – NSTP/Owee Ah Chun

Kelmarin, BH melaporkan penanaman ketum dibenarkan ditanam namun tertakluk kepada terma dan syarat serta surat kebenaran daripada Menteri Kesihatan.

Perkara itu terkandung dalam Rang Undang-Undang (RUU) Racun (Pindaan) 2019, yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad di Dewan Rakyat, Isnin lalu.

Berdasarkan RUU berkenaan, Menteri Kesihatan diperuntukkan kuasa untuk membenarkan mana-mana pegawai awam atau pegawai badan berkanun menanam tumbuhan terbabit.

Ini bermakna, orang awam tidak lagi dibenarkan menanam tumbuhan psikoaktif itu dan boleh didenda maksimum RM200,000 atau penjara tujuh tahun atau kedua-duanya sekali jika RUU terbabit diluluskan kelak.
-Bharian

Komen