Polis Sabah kesan, buru pemandu bas ekspres ambil dadah

Polis Sabah kesan, buru pemandu bas ekspres ambil dadah

OMAR Mammah (dua dari kiri) mendengar taklimat daripada pegawai polis berkenaan operasi bersepadu di Putera Jaya, Telipok. – Foto Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Pemandu bas ekspres di negeri ini diingatkan agar tidak terbabit dalam penyalahgunaan dadah kerana perbuatan itu bukan hanya membahayakan nyawa mereka, malah boleh mengancam keselamatan penumpang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, berkata pengambilan bahan terlarang dikenalpasti antara faktor penyumbang berlakunya kemalangan di negeri ini, terutama ketika musim perayaan, dengan ada di antaranya turut membabitkan kematian.

Terminal Bas Bandaraya (Utara) – “Inanam”

“Justeru, Op Selamat 15 turut menempatkan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk menjalankan pemeriksaan secara rawak ke atas pemandu bas ekspres bagi memburu mereka yang terbabit penyalahgunaan dadah.

“Bagaimanapun, sejak operasi khas ini dilancarkan pada 29 Mei lalu, kita belum mengesan mana-mana pemandu bas ekspres yang positif dadah. Kita akan teruskan operasi ini bagi memastikan semua pemandu mematuhi peraturan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Op Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam di Putera Jaya Telipok, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah, Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa dan Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Yaacob.

Menurutnya, sehingga semalam, Op Selamat 15 mencatatkan 496 keping saman dikeluarkan di seluruh negeri membabitkan pelbagai kesalahan lalulintas.

“Kesalahan yang paling tinggi iaitu memandu tanpa lesen sebanyak 91 saman, diikuti cukai jalan (89 saman) dan kesalahan lampu brek (59 saman). Dalam operasi malam tadi, sebanyak 74 kenderaan diperiksa, dengan 18 daripadanya adalah bas,” katanya.

“Bagaimanapun, ujian saringan air kencing ke atas semua pemandu didapati negatif, manakala tiga penumpang didapati positif dadah,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga, seramai 65 penumpang diperiksa dan tujuh individu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Turut ditahan seorang lelaki berusia 24 tahun kerana cuba memberi rasuah sebanyak RM300 kepada pegawai polis sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas kenalannya dan kes disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Ingin diberikan peringatan sekali lagi kepada pemandu supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan tidak sekali terbabit dalam penyalahgunaan dadah,” katanya. – Berita Harian

Komen