POLIS RAMPAS 253.6 GRAM SYABU BERNILAI RM22,500

POLIS RAMPAS 253.6 GRAM SYABU BERNILAI RM22,500

Syabu seberat 253.6 gram yang dirampas polis Tawau disyaki milik suspek yang ditahan semasa menjalankan rondaan dan pemantauan. – Gambar SNT / Ehsan IPD Tawau

TAWAU: Seorang wanita antara tiga yang ditahan selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu seberat 253.6 gram yang dianggarkan bernilai RM22,500.

Ketiga-tiga suspek berusia di antara 24 hingga lewat 30-an itu ditahan oleh sepasukan polis semasa menjalankan rondaan dan pemantauan di bandar Tawau, semalam.

Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketiga-tiga suspek itu ditahan pada pukul 2 petang selepas mereka dikatakan kelihatan dalam keadaan mencurigakan di lokasi pondok teksi hadapan UTC Tawau.

Menurut beliau, sepasukan polis dari Strike Team IPD Tawau telah menahan sebuah kereta jenis Toyota Harrier setelah mendapati beberapa individu di dalam kenderaan tersebut dalam mencurigakan.

“Pemeriksaan anggota polis di dalam kereta tersebut telah menjumpai sebuah beg plastik warna hijau dari bahagian tengah diantara tempat duduk pemandu dan penumpang.

“Dalam beg plastik itu terdapat lima buah paket plastik lutsinar yang berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadil menambah, kesemua suspek ditangkap serta barang kes dirampas dan dibawa ke Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – SabahNewsToday

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Komen