POLIS MARIN BERSAMA JABATAN PERHUTANAN SEMPORNA MEMBERKAS PENCURI KAYU HUTAN SIMPAN

POLIS MARIN BERSAMA JABATAN PERHUTANAN SEMPORNA MEMBERKAS PENCURI KAYU HUTAN SIMPAN

SEMPORNA, 18 Februari 2019 (Isnin)- Pasukan Polis Marin Semporna telah melancarkan operasi ‘Op Bersepadu’ bersama Jabatan Perhutanan Semporna dalam membanteras aktiviti mencuri kayu di kawasan Hutan Simpan Pulau Timbun Mata, Semporna melibatkan 1 pegawai dan 5 anggota bagi kedua-dua agensi. Hasil maklumat Unit Risikan Marin(URM), operasi tersebut telah berjaya menahan dan memeriksa sebuah perahu bersama dua orang lelaki tempatan berumur 46 dan 55 tahun pada jam 3.30 pagi tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Hj Mohd Pajeri Bin Ali berkata, ‘Dalam Op Bersepadu tersebut bersama Jabatan Perhutanan Sabah pada kali ini telah membuahkan hasil. Taktik dan helah yang dirancang dalam operasi ini telah berjaya sehingga salah seorang suspek dikehendaki dalam aktiviti mencuri kayu di Hutan Simpan Semporna dapat diberkas’.

Pemeriksaan ke atas perahu suspek telah menemukan 16 batang kayu bergergaji 2×4 panjang 18 kaki dan 4 keping kayu bergergaji 1×6 panjang 18 kaki. Jumlah keseluruhan 20 batang kayu bergergaji yang dicuri dari kawasan Hutan Simpan Pulau Timbun Mata, Semporna dirampas. Turut dirampas satu gelen tong minyak warna merah, sebuah perahu dan enjin sangkut Yamaha Enduro 40hp. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM17,340.00.

Tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Semporna untuk siasatan lanjut dibawah Enakmen Perhutanan 1968 iaitu mencuri kayu di kawasan Hutan Simpan. Kes disiasat dibawah Seksyen 30(1)(g) Enakmen Perhutanan 1968, memiliki suatu keluaran hutan yg belum dijelaskan royalti kepada kerajaan. Jika sabit kesalahan penjara tidak kurang 1 tahun dan tidak melebihi 5 tahun atau denda tidak melebihi RM500,000.00.

Sumber: Pasukan Polis Marin w4 Sabah

Komen