POLIS LAHAD DATU TUMPAS SINDIKET DADAH BERNILAI RM2.5 JUTA

POLIS LAHAD DATU TUMPAS SINDIKET DADAH BERNILAI RM2.5 JUTA

LAHAD DATU, 6 Okt : Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah terbesar di Sabah susulan penahanan seorang lelaki tempatan serta merampas 51,917 gram syabu bernilai RM2.5 juta dalam serbuan di kawasan parkir, hadapan sebuah kedai di Bandar Sri Perdana di sini, Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Nasri Mansor berkata dalam kejadian 12 tengah hari suspek berusia 34 tahun dan tidak bekerja itu ditahan ketika membawa keluar sebuah beg plastik berwarna pink dari tempat duduk belakang sebuah kereta pacuan empat roda.

“Suspek cuba melarikan diri ketika dihampiri pasukan polis tetapi berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan.

“Pemeriksaan terhadap beg yang dikeluarkan suspek didapati mengandungi 25 bungkusan plastik warna kuning keemasan bercetak tulisan Daguanyin dan didalam kesemuanya berisi dadah jenis Syabu,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini, hari ini.

Nasri berkata, pasukan serbuan yang turut memeriksa kereta suspek menjumpai satu lagi beg yang bercorak bunga berwarna hitam putih dan didapati mengandungi 25 bungkus plastik sama yang setiap satu berisi dadah jenis Syabu.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti sumber bekalan dadah dan sama ada dadah ini untuk pasaran tempatan atau untuk dieksport.

“Kita juga sedang berusaha membongkar rangkaian pengedaran dadah melalui tangkapan ini, sama ada sindiket ini melibatkan tempatanl atau antarabangsa,” katanya suspek direman selama tujuh hari sejak 4 Okt untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, suspek pernah ditahan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh sehingga mengakibatkan kecederaan, dikehendaki untuk tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Dalam satu lagi kes semalam, polis menahan sepasang suami isteri warga tempatan masing-masing berusia 46 tahun disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di dalam sebuah kereta di kawasan Batu 5 Jalan Lahad Datu-Sandakan.

“Semasa pemeriksaan badan, suspek wanita mengeluarkan satu plastik berwarna hitam dari colinya dan di dalam plastik itu terdapat dua paket berisi dadah jenis syabu seberat 79.90 gram bernilai RM6,000,” katanya turut ditahan bersama pasangan suami isteri itu adalah anak perempuan mereka berusia enam tahun.

Dalam tangkapan itu, Nasri berkata polis turut merampas dua bentuk cincin emas, seutas rantai dan gelang tangan serta wang tunai RM4,350.

“Pasangan suami isteri itu kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini,” katanya lagi dan masih menyiasat sumber bekalan dadah diperoleh suspek suami isteri itu.

Nasri berkata, Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Lahad Datu merekodkan 93 tangkapan bagi 85 kes kategori bekalan dadah sepanjang tempoh Januari hingga semalam

Bagi tempoh sama polis turut melakukan 458 tangkapan bagi 431 kes kategori memiliki dadah.

Komen