POLIS KUNAK TAHAN TIGA PENAGIH, RAMPAS 8.50 GRAM SYABU.

POLIS KUNAK TAHAN TIGA PENAGIH, RAMPAS 8.50 GRAM SYABU.

KUNAK: Tiga penagih dadah dicekup sepasukan polis, ketika sedang lena tidur di rumah mereka sekitar daerah ini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Baharin Md Tahir berkata suspek berusia 19 hingga 27 tahun itu ditahan dalam Operasi Sarang, kira-kira pukul 4.20 pagi.

Ketiga-tiga penagih ditahan ketika sedang lena tidur di rumah mereka. Gambar SNT / Ihsan IPD Kunak

“Ketika serbuan dijalankan di beberapa lokasi berasingan, kita berjaya menahan dua lelaki tempatan dan seorang pendatang tanpa izin (PTI) warganegara Filipina ketika sedang lena tidur di dalam rumah mereka.

“Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methaphentamine dan dua daripada suspek miliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sekitar Operasi Sarang yang dijalankan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak. Gambar SNT / Ihsan IPD Kunak

Baharin berkata dalam serbuan itu juga, pihaknya turut merampas dadah jenis syabu seberat 8.50 gram.

“Hasil serbuan itu juga kita menemukan 14 peket plastik jernih berisi disyaki dadah jenis syabu bernilai RM1,275.

Beliau berkata semua suspek ditahan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.-SabahNewsToday

Komen