POLIS BURU LELAKI ARAB LARIKAN TIGA ANAK, UGUT BUNUH ISTERI

POLIS BURU LELAKI ARAB LARIKAN TIGA ANAK, UGUT BUNUH ISTERI

LAHAD DATU: Polis sedang giat memburu seorang pengusaha syarikat agensi pengurusan pasport dipercayai melarikan tiga anaknya dan cubaan mengugut bunuh isteri serta ahli keluarganya yang lain, dalam kejadian di pejabat suspek di Fajar Centre, dekat sini, Rabu lalu.

Isteri suspek berusia 43 tahun yang bimbang keselamatan dua anak lelaki dan seorang perempuan berusia empat hingga 13 tahun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, pukul 11.55 pagi, semalam.

Suspek Hani Mosbah Ramadan Al Ayayde diburu polis dipercayai melarikan tiga anaknya dan cubaan mengugut isteri sekeluarga. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kejadian berlaku pukul 9.30 pagi ketika suspek dikenali sebagai Hani Mosbah Ramadan Al Ayaydeh, 43, memaksa isterinya membuat pasport anak bongsunya untuk dibawa balik ke Jordan, Rabu lalu.

“Pertengkaran mulai tercetus ketika isteri suspek tidak bersetuju dengan tindakan suspek membawa anaknya ke Jordan.

“Suspek turut mengugut akan membunuh isteri serta keluarganya yang lain jika enggan memberi hak menjaga ketiga-tiga anaknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ekoran kejadian itu suspek kemudian bertindak melarikan ketiga-tiga anaknya menaiki kenderaan jenis Toyota Vigo berwarna putih nombor pendaftaran SD5641L.

Tambahnya, hasil laporan yang dibuat isteri suspek turut mendapati suspek pernah memukul anak lelakinya berusia lapan tahun pukul 9.29 malam di sebuah rumah, di Kampung Muhibbah, dekat sini, 18 Mei lalu.

“Isteri suspek yang ketika itu berada di Kota Kinabalu mengetahui kejadian terbabit bertindak pulang ke Lahad Datu dan membawa anaknya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati anak suspek mengalami kecederaan di leher, muka, punggung dan paha. Bagaimanapun, isteri suspek tidak melaporkan kepada pihak polis ketika kejadian itu berlaku.

Nasri turut menyeru orang ramai untuk membantu pihak polis mengesan suspek.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak dan 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – SabahNewsToday

Komen