Polis buru 3 lelaki menyamar pegawai kesihatan

Polis buru 3 lelaki menyamar pegawai kesihatan

TAWAU: Polis memburu tiga lelaki dipercayai menyamar sebagai pegawai kesihatan yang giat membuat pemeriksaan dari rumah ke rumah sebelum mencuri dan menyamun barangan berharga pemilik rumah.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengahari semalam di sebuah rumah di Kampung Batu 6, Jalan Apas, seorang wanita didatangi tiga individu yang memperkenalkan diri sebagai penguatkuasa Jabatan Kesihatan.

Bagaimanapun, ketiga-tiga suspek yang lengkap dengan pakaian seragam biru bertindak menggeledah rumah termasuk bilik mangsa dan melarikan barangan peribadi serta sejumlah wang tunai sebelum mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata ia kes kedua dilaporkan sepanjang bulan ini.

“Pihak polis sedang meneliti dan mengenal pasti identiti suspek termasuk melalui rakaman litar tertutup (CCTV) milik jiran mangsa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan demonstrasi menyelamat tebusan sempena Program Latihan Dalam Perkhidmatan (STRIKE TEAM) IPD Tawau, di Teck Guan Coco Village di sini, hari ini.

Susulan kes itu, Peter menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan individu mencurigakan bagi mengelak daripada menjadi mangsa.

“Saya menggesa mana-mana pihak serta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai suspek supaya menghubungi balai polis terdekat atau terus menghubungi Bilik Gerakan IPD Tawau di talian 089-77 2121,” katanya. -Bharian

Komen