POLIS BERJAYA TAHAN 11 INDIVIDU AKTIF KES PECAH RUMAH DAN CURI SARANG BURUNG, SEORANG MASIH DIBURU

POLIS BERJAYA TAHAN 11 INDIVIDU AKTIF KES PECAH RUMAH DAN CURI SARANG BURUNG, SEORANG MASIH DIBURU

TAWAU; 22 OKTOBER 2019 (Selasa) – Kejayaan pihak polis menangkap seorang lelaki tempatan sekaligus membawa kepada penangkapan 7 lelaki rakan sejenayah yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah dan curi sarang burung di sekitar daerah Tawau, Kunak, Semporna, Lahad Datu dan Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Anak Umbuas dalam sidang medianya berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditangkap di sebuah bilik di Cowie Industrial Estate Batu 3, Jalan Apas pada 2 Oktober lepas kira-kira pukul 6 petang.

Susulan itu, beberapa siri tangkapan berjaya dilakukan masing-masing 6 lelaki tempatan manakala seorang lagi warga asing (Indonesia) yang kesemuanya berusia antara 22 hingga 40 tahun. Bagaimanapun seorang lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai ketua kumpulan terbabit masih diburu.

Pemeriksaan rekod jenayah lampau juga mendapati beberapa suspek pernah terlibat kes pecah rumah, jenayah curi serta terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis Methampethamine.

Katanya, dengan tertangkapnya 8 suspek tersebut, pihak Polis percaya telah dapat menyelesaikan 10 kes pecah rumah melibatkan peti besi dan juga sarang burung di kawasan Tawau.

Turut dirampas pelbagai peralatan pecah rumah, telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kenderaan pacuan 4 roda dan 3 kenderaan jenis motokar (Saloon).

Kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majisterat Tawau untuk permohonan reman di bawah seksyen 117 (KPJ) dan ditahan sehingga 23 Oktober untuk siasatan lanjut.

Dalam perkembangan sama, 3 lelaki yang memecah masuk sebuah premis menjual rokok elektronik di Taman Bintang Jalan Apas pada 13 Oktober lepas juga berjaya dicekup polis kira-kira 2.35 pagi semalam. Lelaki berusia 31 hingga 39 tahun itu kesemuanya adalah warga tempatan. Pihak polis turut merampas sebuah komputer riba, pelbagai jenis liquid vape flavor melibatkan kerugian 10-ribu ringgit.

Sementara itu, hasil serbuan di sebuah kantin di Logpond Tanjung Batu Laut yang dijalankan kira-kira 2.30 petang 19 Oktober lalu, polis menahan 2 warga tempatan seorang perempuan dan lelaki yang menjalankan aktiviti perjudian.

Kedua-dua suspek ditahan reman bermula 20 Oktober sehingga esok. Kes disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka (1953).

#BESTAWAUfm

Komen