PGA Sabah rekod kejayaan tahan 594 individu dan nilai rampasan RM5 juta

PGA Sabah rekod kejayaan tahan 594 individu dan nilai rampasan RM5 juta

TAWAU, 4 Nov — Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah mencapai pelbagai kejayaan pada tahun ini iaitu setakat September, pasukan itu menahan 594 individu atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan RM5 juta.

Menzahirkan penghargaan atas kejayaan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata tangkapan itu terdiri daripada 35 warga tempatan, Filipina (455), Indonesia (97), dan negara-negara lain seramai tujuh orang.

“Kesemua tangkapan itu disiasat atas pelbagai kesalahan antaranya Akta Imigresen, Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Akta Kastam serta Akta Perikanan.

Rampasan bernilai RM5 juta itu pula melibatkan pelbagai jenis barangan seperti rokok, minuman keras, mercun, senjata api, wang tunai, kenderaan, termasuk dadah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Surat Penghargaan Ketua Polis Negara kepada 16 penerima anggota dan pegawai PGA di Markas PGA Tawau, di sini hari ini.

Menurut Abdul Hamid kejayaan dikecapi itu adalah terjemahan kepada komitmen dan kerja keras seluruh warga PGA Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut memuji tindakan anggota serta pegawai PGA yang menolak rasuah dan melaporkan segera kepada pihak berkuasa.

“Misalnya pada 5 Sept lalu, seorang lelaki cuba memberi sogokan RM5,000 kepada seorang Pegawai Kanan dan enam anggota serbuan dari Batalion 14 bagi melepaskan lori yang membawa 2,256 karton minuman keras disyaki tidak mempunyai cukai, selain banyak lagi cubaan sogokan tetapi ditolak anggota PGA bertugas.

Tahniah kerana berpegang pada prinsip integriti tinggi, ini sekali gus menghakis pandangan skeptikal masyarakat yang melabel polis sinonim dengan suapan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata isu jenayah rentas sempadan khususnya membabitkan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) sentiasa mendapat perhatian polis dan kerajaan.

“Usaha mengurangkan risiko akan ditingkatkan dari semasa ke semasa, selain memantapkan semua elemen polis sama ada di darat, laut atau udara akan digembleng tenaga,” katanya.

Menurutnya lagi, berkaitan kes penculikan untuk wang tebusan di Esszone, pihaknya telah mengenal pasti laluan yang sering digunakan selain modus operandi dilaksanakan penjenayah terlibat.

“Sebelum ini kita ingat mereka ini merancang semua tindak tanduk itu dari luar negara, luar perairan negara tetapi hasil siasatan daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ada dalam kalangan warga asing bermastautin secara haram di Esszone menjadi tali barut kepada kumpulan penculik,” katanya.

Pada majlis hari ini, Abdul Hamid turut mengumumkan peruntukan RM500,000 untuk membaiki kuarters PGA Tawau.

— BERNAMA

Komen