Pesawat Ethiopian Airlines bersama 157 penumpang terhempas

Pesawat Ethiopian Airlines bersama 157 penumpang terhempas

Gambar fail pesawat Boeing 737 milik Ethiopian Airlines. Pesawat membawa 149 penumpang dan lapan kru itu terputus hubungan enam minit sejurus berlepas.-Foto AFP

NAIROBI: Sebuah pesawat Boeing 737 milik Ethiopian Airlines terhempas pagi ini ketika dalam perjalanan dari ibu kota Addis Ababa ke Nairobi, Kenya bersama 149 penumpang dan lapan kru, kata syarikat penerbangan itu.

Pejabat Perdana Menteri Abiy Ahmed menulis tweet mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Kami mengesahkan penerbangan berjadual kami ET 302 dari Addis Ababa ke Nairobi terbabit dalam nahas hari ini.

“Dipercayai ada 149 penumpang dan lapan kru berada di dalamnya namun kami sedang mengesahkan butiran penumpang penerbangan itu,” kata syarikat dalam satu kenyataan.

Syarikat penerbangan itu berkata, operasi mencari dan menyelamat sedang diusahakan dan pihaknya tiada maklumat disahkan mengenai mangsa terselamat atau kematian.

Pesawat itu berlepas jam 8.38 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bole dan ‘terputus hubungan’ enam minit kemudian berhampiran Bishoftu, bandar sejauh 60 kilometer di tenggara Addis Ababa menggunakan jalan raya. -AFP

Komen