Persandingan impian ‘Iron Man’

Persandingan impian ‘Iron Man’

Padzli memakai kostum Iron Man di atas pelamin bersama isterinya Sitti Hamija di majlis persandingan mereka di Batu 4, Tawau. Foto Ihsan Faezz Photography

DUA hari sebelum perkahwinan berlangsung, seorang lelaki membuat keputusan untuk memakai kostum adiwira Iron Man di majlis persandingannya pada 5 September lalu.

Keputusan itu dibuat oleh Padzli Bally, 27, kerana mahu mengabadikan kenangan terindah perkahwinannya bersama isteri, Sitti Hamija Mohd Tahal, 26, di Batu 4, Tawau.

Padzli berkata, dia sememangnya minat terhadap adiwira itu selain meminati lakonan aktor Hollywood, Robert Downey Jr yang melakonkan watak Tony Stark.

“Timbul idea untuk memakai kostum itu selepas saya menaiki motosikal Yamaha Lagenda 115Z yang dipenuhi dengan pelekat Iron Man sebelum majlis berbaki dua hari.

“Saya terus beritahu kepada isteri. Alhamdulillah, dia sangat memahami dengan minat saya itu dan bersetuju untuk membenarkan saya naik pelamin dengan kostum itu.

“Kebetulan, apabila saya tanya di kedai yang menyediakan perkhidmatan kostum ini, tempahan ketika itu masih ada kekosongan.

“Saya sewa dengan harga RM600,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang hadir dalam majlisnya itu pada Khamis lalu terkejut dengan penampilannya bersama kostum itu.

“Namun, mereka sangat teruja untuk mengambil gambar bersama saya sehingga nak ambil bersama keluarga sendiri pun tidak sempat.

“Majlis persandingan saya diadakan pada tengah hari dan juga malam. Siang saya pakai, malam pun saya pakai.

“Walaupun panas tapi saya reda saja. Janji tetamu yang hadir gembira selain saya dapat menunaikan hasrat saya untuk memakai kostum terbabit pada hari yang penuh bermakna itu.,” katanya.

Terdahulu, seorang jurufoto, Ahmad Faiz Abd Salleh memuat naik gambar pasangan itu di laman Facebook miliknya sebelum ia tular.
-hmetro
Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 9:14 PM

Berita Berkaitan

Komen