Permohonan pendaftaran lewat kelahiran di Sabah, Sarawak dan Sarawak tidak dihentikan

Permohonan pendaftaran lewat kelahiran di Sabah, Sarawak dan Sarawak tidak dihentikan

KOTA KINABALU: Proses permohonan pendaftaran lewat kelahiran di Sabah dan Sarawak tidak dihentikan sama sekali dan masih tertakluk kepada ordinan sedia ada.

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan permohonan berkaitan masih boleh dibuat di mana-mana pejabat cawangan jabatan itu.

Malah, Panel Daftar Lewat Kelahiran akan dibuat di peringkat negeri dan panel itu akan dipengerusikan oleh Pendaftar Wilayah Sabah/Sarawak iaitu Pengarah Pendaftaran Negeri.

“Penambahbaikan Prosedur Operasi Standard (SOP) juga tidak akan menjejaskan perkhidmatan Mahkamah Bergerak Negeri Sabah yang dilaksanakan sekian lama di negeri ini dan memberi banyak manfaat kepada masyarakat setempat.

“JPN akan sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan pihak berkenaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. JPN memberi jaminan sebarang penambahbaikan perkhidmatan tidak akan membebankan orang ramai, terutama penduduk di kawasan pedalaman yang mempunyai isu logistik untuk hadir ke pejabat JPN,” katanya.

Katanya, proses penambahbaikan di peringkat JPN itu bagi memastikan proses berkaitan dilaksanakan secara telus dan berintegriti, sekali gus mengelak sebarang ruang salah guna kuasa.

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh hadir ke mana-mana pejabat JPN atau melayari laman web rasmi JPN, www.jpn.gov.my atau menghubungi Unit Komunikasi Korporat JPN ditalian 03-88807077/7067/7069/8206 atau emel ke pro@jpn.gov.my. – Bharian

Komen