Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan sehingga 25 Julai

Perintah berkurung di ESSZone dilanjutkan sehingga 25 Julai

PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah.

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir hari ini akan dilanjutkan sehingga 25 Julai ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah, dalam kenyataan hari ini, berkata perintah berkurung dari 6 petang hingga 6 pagi itu meliputi kawasan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Katanya, orang ramai tinggal di kawasan itu dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan itu antara 6 petang hingga 6 pagi pada tarikh dinyatakan.

“Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terbabit tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik dan pelancong asing melawat pulau peranginan.

“Perintah berkurung juga bagi menjamin keselamatan serta kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan mereka yang berada di kawasan daratan ESSZone,” katanya.

Omar berkata perintah berkurung akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat lagi yakin kepada pengusaha chalet selain nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Katanya, berdasarkan maklumat, kumpulan militan Abu Sayyaf dan mereka yang menjalankan kegiatan menculik bagi mendapatkan wang tebusan dari selatan Filipina masih cuba menceroboh untuk melakukan penculikan atau jenayah rentas sempadan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZone bagi mengeluarkan permit kepada pemohon layak bagi tujuan kegiatan perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung, ” katanya. – BERNAMA

Komen