PERDAGANGAN ‘BARTER TRADE’ DI SABAH DILAKSANA SEMULA – SHAFIE APDAL

PERDAGANGAN ‘BARTER TRADE’ DI SABAH DILAKSANA SEMULA – SHAFIE APDAL

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah akan memulakan semula aktiviti perdagangan tukar barang (barter trade) dengan negara-negara jiran bermula 1 Januari tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, empat pelabuhan masing-masing di Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu akan dijadikan pangkalan bagi menjalankan perdagangan tukar barang itu.

Katanya keputusan memulakan semula operasi perdagangan itu dilakukan setelah Majlis Keselamatan Negeri (MKN) bersetuju untuk menyediakan satu pendekatan atau Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi memastikan perdagangan tukar barang ini dapat dilaksana dengan jayanya.

Penambahbaikan SOP ini akan membolehkan perdagangan yang dijalankan dengan Filipina dan Indonesia berjalan lancar. Antara SOP itu adalah mengemaskini penggunaan bot serta jenis barangan yang akan diperdagangkan.

Dalam masa yang sama, kawalan keselamatan di kawasan perairan yang terlibat juga akan dipertingkatkan.

“Kita akan menetapkan pengesan bagi memastikan apabila berlaku sesuatu kejadian tidak diingini, mudah untuk kita mengetahui siapa pemilik dan cara menguruskan kes berkenaan.

“Kita akan turut melakukan pengawasan dengan meningkatkan kapasiti yang ada supaya kita boleh menjalankan operasi dengan lebih kerap berbanding sebelum ini. Namun ini bergantung kepada kemampuan kita menguruskannya,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah, di sini pada Selasa.

Katanya, langkah menjaga keselamatan itu bukan hanya tanggungjawab anggota keselamatan di Sabah, negara jiran seperti Filipina juga perlu memastikan rakyat mereka tidak melakukan jenayah rentas sempadan seperti penculikan. Tindakan itu hanya akan mengugat kehidupan dan peluang perniagaan mereka.

“Kita percaya dengan wujudnya perdagangan antara Malaysia dengan Filipina dan Indonesia ini, kita mampu mengurangkan aktiviti haram sebab semua orang sibuk dengan perniagaan,” ujarnya.

Aktiviti perdagangan tukar barang ini telah dihentikan serta-merta oleh kerajaan terdahulu bermula 6 April 2016.

Langkah pemberhentian itu diambil bagi memastikan insiden penculikan yang berlaku di perairan negeri ini tidak berulang pada masa hadapan.

Dalam mesyuarat MKN itu, Shafie berkata, beberapa perkara turut dibincang dan diperincikan bagi memastikan keselamatan negeri dapat dipertingkatkan.

“Kita juga membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil untuk membanteras jenayah peringkat negeri. Walaupun prestasi agak baik namun, langkah keselamatan harus diteruskan agar keadaan dapat ditangani dengan baik,” katanya.

Sumber: Borneotoday Oleh SURAIDAH ROSLAN

Komen