Penyelam pesawat Lion Air maut alami dekompresi

Penyelam pesawat Lion Air maut alami dekompresi

PENYELAM tentera laut Indonesia berehat seketika selepas menaikkan roda pesawat Lion Air JT 610 dan bahagian lain jet Lion Air yang terhempas dari dasar Laut Jawa. – Foto AFP

JAKARTA : Seorang penyelam meninggal dunia ketika melakukan kerja-kerja mencari anggota tubuh mangsa nahas pesawat Lion Air di sini.

Syahchrul Anto, 48 yang meninggal dunia semalam adalah sebahagian daripada anggota pasukan mencari anggota tubuh mangsa dan serpihan pesawat di Laut Jawa.

“Beliau ialah sukarelawan Agensi Mencari dan Menyelamat,” kata komander pasukan mencari dan menyelamat tentera laut Indonesia.

“Penyelam itu meninggal dunia kerana dekompresi,” katanya.

Anto sebelum ini menyertai aktiviti menyelamat di Palu dan turut terbabit dalam proses evakuasi pesawat Air Asia QZ8501 yang terhempas di Selat Karimata, empat tahun lalu.

Pesawat Lion Air yang terhempas Isnin lalu sedang dalam perjalanan dari Jakarta ke bandar Pangkal Pinang di kepulauan Sumatera.

Nahas berkenaan berlaku hanya dalam tempoh 13 minit selepas pesawat terbabit berlepas dari Jakarta, membunuh kesemua 189 penumpang dan anak kapal.

Menurut pihak berkuasa, Perakam Data Penerbangan atau lebih dikenali sebagai kotak hitam berjaya ditemui Khamis lalu namun usaha masih diteruskan untuk mengesan kotak hitam kedua atau Perakam Suara Kokpit yang boleh memberi jawapan bagaimana pesawat Boeing 737 MAX 8 berusia 2 1/2 bulan itu boleh terhempas. – AFP

Komen