PENUNGGANG MOTOSIKAL PARAH TERCAMPAK DARI MOTOSIKAL

PENUNGGANG MOTOSIKAL PARAH TERCAMPAK DARI MOTOSIKAL

Motosikal dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk manakala mangsa patah tulang paha kanan, patah tulang kaki kiri, pendarahan di bahagian kepala dan perut. Gambar SNT / Ihsan IPD Tawau

TAWAU: Seorang penunggang motosikal parah selepas terbabit kemalangan, di simpang masuk Sekolah Menengah Abaka (SMK), Jalan Merotai, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1.15 tengah hari itu, mangsa Badrul Hisham Roslan, 25, mengalami patah tulang paha kanan dan tulang kaki kiri serta pendarahan di bahagian kepala dan perut.

Pemangku Ketua Polis Tawau, Norazizulkifli Mansor berkata kejadian berlaku ketika pemandu kenderaan berusia 26 tahun yang datang dari arah Merotai secara tiba-tiba membelok masuk ke simpang pintu utama SMK Abaka.

“Mangsa yang menaiki motosikal jenis Yamaha sedang dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Merotai tidak dapat mengelak lalu melanggar kenderaan terbabit.

“Akibat kemalangan itu, mangsa tercampak ke bahu jalan. Mangsa mengalami patah tulang paha kanan, patah tulang kaki kiri, pendarahan di bahagian kepala dan perut,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazizulkifli berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu jenis proton saga yang cuai masuk simpang hingga menyebabkan kemalangan.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 43(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – SabahNewsToday

Komen