Penjenayah serang polis maut ditembak

Penjenayah serang polis maut ditembak

NASRI (tengah) menunjukkan barang-barang yang ditemui dipercayai milik suspek. FOTO Hazsyah Abdul RahmanJunaidi Ladjana

LELAKI disyaki pengedar dadah ditembak mati ketika cuba menyerang pegawai polis dengan parang dalam kejadian di tepi jalan di Kampung Bakau, Lahad Datu, Jumaat lalu.

Kejadian 4.30 petang itu berlaku apabila sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan ‘Strike Team’ diketuai oleh Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Nasri Mansor menjalankan operasi khas.

Nasri berkata, ketika menjalankan operasi berkenaan, mereka bertembung dengan motosikal merah yang dilaporkan hilang ditunggang oleh lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Polis kemudian mengekorinya sebelum meminta lelaki itu berhenti untuk pemeriksaan tetapi dia terus memecut dan cuba melanggar seorang pegawai polis sebelum motosikal ditunggangnya terbabas.

“Suspek kemudian melarikan diri ke dalam kawasan kebun pisang berhampiran manakala pasukan polis terus bertindak mengejarnya. Ketika dihampiri, suspek melibas-libaskan parang ke arah seorang daripada pegawai polis yang cuba menangkapnya.

“Situasi itu menyebabkan pegawai terbabit terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah suspek untuk tindakan mempertahankan diri,” katanya dalam sidang media hari ini.

Nasri berkata, tembakan itu mengakibatkan suspek mati di tempat kejadian.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui 19 peket berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu dengan berat 1,052 gram yang disimpan di dalam beg silang.

“Polis menemui parang yang digunakan oleh suspek ketika kejadian. Hasil siasatan mendapati motosikal ditunggang suspek dilaporkan hilang pada hari sama kejadian,” katanya.

Menurutnya, setakat ini suspek belum dikenal pasti kerana ketika pemeriksaan tiada pengenalan diri ditemui.

“Suspek disyaki menjalankan aktiviti pengedaran dadah ini sejak dua tahun lalu dan siasatan masih dijalankan. Kita minta ahli keluarga suspek untuk tampil menemui pegawai penyiasat kes bagi pengecaman serta membantu melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Harian Metro

Komen